My Add

Thursday 3 May 2012

'Contohi sikap Tunku Abdul Aziz'

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Mei, 2012: Keberanian dan sikap tegas yang ditunjukkan oleh Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dalam membantah penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu lalu mendapat pujian daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Abu Zahar berkata, pendirian yang ditunjukkan oleh Naib Pengerusi DAP itu adalah amat terpuji dan wajar dicontohi oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta kepentingan rakyat secara menyeluruh.

"Beliau telah menunjukkan satu pendirian dan sikap berprinsip yang begitu tinggi dan taat setia demi mendukung serta mempertahankan perlembagaan negara dan mematuhi semua undang-undang negara yang telah diluluskan oleh Parlimen.

"Ini kerana kita semua adalah ahli-ahli Dewan yang dilantik dan itu adalah peranan kita tanpa mengira siapa pun, tanpa mengira parti politik mana pun. Saya berharap lebih ramai Yang Berhormat akan mencontohi sikap Yang Berhormat tersebut," katanya dalam ucapan selepas majlis angkat sumpah pelantikan semula Senator Mohd. Khalid Ahmad dan pelantikan baru Senator Abdul Shukor Mohd. Sultan di Dewan Negara hari ini.

Khamis lalu, Tunku Abdul Aziz telah menggemparkan Dewan Negara apabila secara terbuka menyatakan bantahan terhadap penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 semasa berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan Tunku Abdul Aziz Ibrahim itu sebagai memalukan parti, bersendirian dalam pandangannya dan menuduh ahli politik veteran tersebut telah melanggar proses parti.

Bantahan terhadap demonstrasi Bersih telah dibuat oleh Tunku Abdul Aziz berdasarkan pengalaman serta pemerhatian beliau terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

Kebimbangan Ahli Dewan Negara itu menjadi kenyataan apabila peserta perhimpunan tersebut merempuh benteng polis dan bertindak biadab melakukan pelbagai kerosakan harta benda awam selain mengakibatkan kecederaan kepada 11 anggota polis.

Sementara itu, Abu Zahar dalam ucapannya turut menyeru ahli-ahli Dewan Negara untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi bagi mengangkat lagi peranan dan martabat dewan tersebut dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

"Marilah kita berazam untuk memartabatkan dan memperkasakan Dewan Negara sebagai dewan yang bermaruah, berkualiti, berkredibiliti dan berintegriti dan betul-betul komited kepada kepentingan negara dan rakyat sejagat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment