My Add

Monday 7 May 2012

Daging lembu AS bebas penyakit BSE

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan daging lembu yang diimport dari Nebraska, Amerika Syarikat (AS) adalah bebas daripada penyakit Bovine Spongiform Encephalopathy (BSE) atau dikenali sebagai penyakit Lembu Gila.

BSE merupakan sejenis penyakit zoonotik (berjangkit daripada haiwan kepada manusia) yang sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan kematian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin berkata, ternakan di Malaysia tidak pernah menghadapi penyakit BSE dan kajian yang dijalankan untuk tempoh 10 tahun sehingga kini, juga masih menunjukkan negara ini bebas serta selamat daripada penyakit tersebut.

“Semua daging lembu di pasaran sama ada daripada sumber tempatan mahupun yang diimport adalah selamat untuk dimakan kerana semua daging itu akan melalui proses pemeriksaan di loji atau rumah sembelih yang diiktiraf kerajaan.

“Seluruh Bahagian Penguatkuasaan Negeri juga telah dimaklumkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap daging import dari AS," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini mengenai kejadian terbaru membabitkan lembu tenusu di California, AS yang dijangkiti BSE.

Menurut Abd. Aziz, pihaknya buat masa ini tidak bercadang untuk menggantung pengimportan daging lembu dari AS kerana Malaysia tidak mengimport daging lembu dari California.

“Kita akan terus memantau perkembangan terkini mengenai jangkitan di California itu dan kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menggantung import daging lembu itu sekiranya terdapat risiko jangkitan kepada ternakan dan rakyat di negara ini," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment