My Add

Friday 11 May 2012

Destinasi sejarah pilihan Najib

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Tarikan yang terdapat di negara-negara yang mempunyai tapak warisan sejarah menjadi destinasi percutian kegemaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Salah satu daripada destinasi percutian tidak dapat dilupakan beliau ialah semasa melawat sebuah bandar purba bernama Ephesus di Turki.

"Saya suka tempat bersejarah sebab banyak baca buku sejarah dan tamadun. Tempat yang ada tarikan sejarah boleh menggambarkan kepada saya keadaan tempat itu pada masa terdahulu

"Uniknya di Ephesus, sesiapa yang ingin masuk ke bandar purba itu kena mandi dulu, kena bersihkan diri. Manakala bangunan utama di bandar itu adalah sebuah perpustakaan,'' katanya semasa temu bual rancangan Sinar Pagi di Sinar fm di sini.

Selain tarikan sejarah, beliau juga mengutamakan keindahan kawasan serta kemudahan yang disediakan di sesuatu tempat yang ingin dikunjungi beliau.

Najib yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi di negara ini turut mengakui peluang bercuti sebagai masa yang paling menyeronokkan buat diri beliau dan keluarga.

"Yang paling seronok semasa saya bercuti adalah bila saya dapat rasakan diri seperti orang biasa. Cuma saya harap tak ada masalah di rumah, itu boleh mengganggu fikiran saya," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui sepanjang tempoh tiga tahun menjadi Perdana Menteri beliau tidak pernah menikmati 'percutian sempurna' kerana sentiasa dihubungi atas urusan kerja.

"Masalahnya saya nak lari ke mana pun tak boleh, mungkin pergi lari ke Antartika, bercuti dengan penguin,'' seloroh beliau.

Pada sesi temu bual selama hampir sejam itu, stesen radio tersebut turut memainkan beberapa lagu klasik kegemaran Najib beserta kisah di sebalik setiap lagu.

Antaranya lagu dendangan R. Azmi bertajuk Memikat Hati, Massachusetts dan To Love Somebody nyanyian Bee Gees, lagu Teluk Bayur oleh Erny Djohan dan lagu Mari Mengundinyanyian semula oleh Salih Yaakob yang diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris secara spontan.

Najib berkata, menjadi seorang Perdana Menteri memberi impak yang cukup besar pada kehidupan beliau secara peribadi dan keluarga.

Selain kesibukan jadual kerja katanya, beban yang dipikul lebih kepada faktor tekanan sebagai individu yang bertanggungjawab membuat semua keputusan secara muktamad dan tepat.

"Masa saya jadi menteri saya sedar tanggungjawab itu berat, lebih berat lagi bila jadi Timbalan Perdana Menteri dan lagi berat bila jadi Perdana Menteri.

"Bila sampai peringkat seorang Perdana Menteri, 10 daripada 10 keputusan yang kita buat harus tepat sebab jika 9 daripada 10 sahaja yang tepat, satu lagi itu akan dijadikan bahan untuk mempertikaikan kepimpinan kita,''

Rancangan Sinar Pagi bersama Perdana Menteri oleh stesen radio nombor satu di kalangan pendengar 30 tahun ke atas itu dikendalikan oleh deejay Khairil Rashid, Salih Yaccob dan Raja Azura. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment