My Add

Tuesday 1 May 2012

DPMMS serah laporan kepada PM

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM, ISNIN, 30 April, 2012: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) akan menyerahkan satu laporan khas berhubung kelembapan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membantu syarikat bumiputera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Yang Dipertuanya, Tan Sri Rozali Ismail, laporan tersebut yang sedang disiapkan bersama 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan mendedahkan kesukaran Teraju dan GLC untuk memberi kerjasama kepada ahli-ahli DPMMS.

"Tindakan Teraju amat lemah berbanding Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan kita kemuka laporan bagi mendapat perhatian Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Agenda Bumiputera," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan DPMMS Ke-25, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua DPMMS, Datuk Dr. Mohd. Karim Abdullah Omar dan Naib Yang Dipertua DPMMS, Datuk Mohd. Said Mat Saman.

Rozali berkata, pihaknya tidak berniat untuk mengadakan demonstrasi bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi hanya ingin ia diselesaikan dengan jalan rundingan.

"Selain Teraju, kita juga kecewa dengan kelembapan GLC seperti Petronas dan sebagainya dalam memberi maklum balas kepada ahli DPMMS.

"Kita tidak ragu dengan pencapaian ekonomi Malaysia ketika ini hasil usaha yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri, namun apa yang dipertikaikan ialah gerak kerja Teraju dan GLC yang amat perlahan,'' ujarnya.

Katanya, masih banyak program dan perancangan yang harus dibuat untuk membantu syarikat serta usahawan bumiputera di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment