My Add

Saturday, 19 May 2012

Dua lagi yang halang FGVH ambil cek

KUALA KRAU 18 Mei - Tidak sampai 24 jam selepas dua rakan mereka yang sebelum ini memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) mengambil cek durian runtuh semalam, hari ini dua lagi peneroka terlibat turut berbuat demikian.

Kali ini, Alias Ibrahim dan Abdul Rahim Abdul Rahman, kedua-duanya peneroka dari Rancangan Jengka 15 mengambil cek durian runtuh RM5,000 itu di pejabat Pengurus rancangan berkenaan.

Cek bagi bayaran durian runtuh fasa pertama itu diserahkan oleh Pengurus Jengka 15, Ab. Rasib Che Awang kepada kedua-dua mereka yang datang bersama.

Seperti dua rakan mereka semalam, Alias dan Abdul Rahim yang diketahui umum sebagai 'orang kuat' Pas di Jengka 15 turut bergegas meninggalkan pejabat pengurus sebaik sahaja menerima cek berkenaan tanpa bercakap banyak.

Setakat ini, empat peneroka yang memfailkan injunksi tersebut telah mengambil cek durian runtuh masing-masing termasuk dua orang semalam iaitu Abdullah Mohd. dari Jengka 15 dan Idris Mat Sah, peneroka Jengka 14.

Cek untuk dua lagi peneroka terlibat masing-masing dari Jengka 17 dan Jengka 4 difahamkan akan diserahkan pada majlis yang akan diadakan minggu hadapan.

Daripada lapan peneroka yang memfailkan injunksi berkenaan, hanya enam yang layak menerima bayaran durian runtuh fasa pertama ini manakala dua lagi iaitu Rokiah Sulong akan menerimanya pada fasa kedua dan Rosdi Ismail untuk fasa ketiga.

Pada majlis pengumuman durian runtuh 8 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar lapan peneroka itu supaya tidak mengambil wang berkenaan berikutan tindakan mereka memfailkan injunksi tersebut.

No comments:

Post a Comment