My Add

Thursday 17 May 2012

Eksport produk halal ke China

PUTRAJAYA, RABU, 16 Mei, 2012: Pasaran produk halal Malaysia akan diperluaskan ke seluruh China apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengadakan kerjasama strategik dengan sebuah pusat perdagangan gergasi di negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata Malaysia menjadi negara pertama bekerjasama dengan Syarikat Perdagangan Produk Halal Antarabangsa San Bao Shuangxi yang berpusat di Xi’an, China itu.

Beliau berkata, 10 usahawan produk halal di negara ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat berkenaan selepas mengambil bahagian dalam Festival Makanan Halal Xi’an yang berlangsung sejak 12 hingga 18 Mei ini.

“Melalui perjanjian itu, usahawan Malaysia akan mendapat manfaat dengan berpeluang meluaskan pasaran produk halal yang mereka hasilkan ke seluruh China.

“Syarikat terbabit akan membuka 3,000 cawangan di seluruh China yang berperanan memasarkan lebih 30,000 jenis produk halal dari seluruh dunia termasuk dari Arab Saudi yang dijangka bermula tahun ini,” katanya di sini, semalam.

Noh berkata, peluang memasarkan produk halal kepada syarikat berkenaan tidak terhad kepada 10 usahawan itu saja sebaliknya terbuka kepada semua pengeluar yang mempunyai sijil halal.

“Pada peringkat tempatan, Bahagian Industri Asas Tani di kementerian akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menarik lebih ramai penyertaan usahawan produk halal negara ini memasarkan produk mereka ke China,” katanya.

Sementara itu, katanya masalah teknikal yang berlaku terhadap eksport sarang burung walit Malaysia ke China sudah selesai.

“Kerajaan China melalui Menteri Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ), Zhishu Ping, bersetuju menandatangani dokumen protokol dalam masa terdekat dan eksport sarang burung walit akan dapat diteruskan.

“Kita memberi jaminan bahawa kualiti sarang burung walit yang akan dieksport ke negara berkenaan sentiasa mematuhi piawaian yang dipersetujui dalam protokol yang akan ditandatangani itu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan hanya pengusaha sarang burung walit yang memenuhi syarat ditetapkan dibenarkan eksport.

Selain itu, katanya lawatan ke China kelmarin juga membuka peluang kepada Malaysia menambah jumlah eksport durian sejuk beku sehingga 100 tan ke negara berkenaan.

“Sebelum protokol (berkaitan eksport durian sejuk beku) ditandatangani, nilai eksport RM92,000 tetapi selepas ia ditandatangani, jumlah eksport pada 2011 meningkat sehingga RM1.1 juta,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment