KOTA BHARU, SELASA, 01 Mei, 2012: Pengumuman gaji minimum sektor swasta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu dilihat daripada sudut masa depan pelaburan negara dan rakyat secara keseluruhan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata keputusan itu juga adalah satu kewajaran yang dilihat dapat memberi kebaikan kepada pekerja sektor swasta.
"Tidak ada erti pembangunan kalau gaji pekerja kita rendah. Ini akan memastikan pelaburan bagi syarikat yang mahukan prestasi yang tinggi dan ini bagus untuk kita," katanya selepas merasmikan Larian Bendera sempena ulang tahun ke-66 UMNO peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Semut Api di sini, hari ini.
Malam semalam, Najib mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta adalah sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam.
Awang Adek berkata, mungkin akan ada segelintir pelabur akan memilih negara lain yang gaji pekerjanya masih rendah seperti China berbanding Malaysia, namun beliau yakin kerajaan akan melaksanakan langkah untuk memastikan pelabur tidak lari.
"Tetapi kita (Malaysia) tidak boleh bergantung kepada gaji murah untuk selama-lamanya. Tidak ada ertinya pembangunan kalau gaji rakyat kita rendah," katanya.
Beliau berkata, gaji minimum itu demi kehidupan yang agak selesa kepada pekerja di sektor swasta terutama mereka yang sudah berkeluarga.
Sementara itu, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, menyifatkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengeluarkan "fatwa" mewajibkan ahli parti itu menyertai perhimpunan di ibu negara Sabtu lalu, sebagai pelik.
"Kalau Nik Aziz kata wajib kenapa dia sendiri tidak berada bersama-sama peserta perhimpunan itu. Ini membuktikan kenyataan dia wajib kepada penyokong dia sahaja tetapi tidak wajib kepada pemimpin mereka," katanya.
Fatwa itu jelas mengelirukan, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment