My Add

Saturday 5 May 2012

Hargai pengorbanan anggota bomba: Sultan Pahang

PEKAN, SABTU, 05 Mei, 2012: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru rakyat menghargai dan mengiktiraf pengorbanan anggota bomba dan penyelamat yang sanggup menghadapi risiko dalam menyelamatkan nyawa dan harta benda orang awam dalam operasi kebombaan. 

Baginda bertitah walaupun tugas anggota bomba adalah satu tugas yang berbahaya, namun rakyat dilihat kurang menghargai pengorbanan dan peranan yang dilakukan oleh mereka.

"Rakyat dilihat tidak ucap terima kasih atas jasa bomba, padahal tugas bomba sangat berbahaya, bukan semua orang ada kepakaran menyelamat macam anggota bomba.

"Justeru saya menyeru supaya rakyat jelata khususnya rakyat negeri Pahang ucap terima kasih kepada anggota bomba yang banyak berjasa selama ini," titah baginda kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2012 di Dataran Pekan, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. 

Chor dalam ucapannya berkata, kerajaan akan meningkatkan jumlah keanggotaan bomba sukarela yang dilihat semakin penting peranannya terutama dalam mengatasi kebakaran di kawasan terpencil, pekan kecil dan kampung. 

"Keunggulan anggota bomba sukarela wajar diberi pujian dalam usaha mereka memadam kebakaran dan khidmat sokongan mereka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

"Mereka sentiasa bersedia untuk digerakkan sebagai pasukan bantuan awal dalam menangani insiden kebakaran yang berlaku sama ada di kediaman, bangunan kerajaan mahupun swasta," katanya. 

Katanya, sehingga kini terdapat 345 pasukan anggota bomba sukarela dengan 15,575 anggota di seluruh negara. 

Chor berkata, kementeriannya juga giat meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan anggota masyarakat dengan menubuhkan kadet bomba di peringkat sekolah dan mengadakan kempen dan ceramah. 

Majlis sambutan itu dimeriahkan dengan perarakan oleh 27 kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat dari seluruh negara dan aksi lima anggota Bomba membuat terjunan dari aras 3,000 kaki untuk operasi menyelamat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment