My Add

Monday 14 May 2012

HDC, IDB bincang tubuh dana pelaburan halal

KUALA LUMPUR, AHAD, 2012: 13 Mei - Halal Industry Development Corporation (HDC) sedang berbincang dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk menubuhkan Dana Pelaburan Halal.

Tumpuannya termasuklah untuk membiayai pembangunan perniagaan pertanian terutamanya bagi negara-negara anggota IDB.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai baru-baru ini antara kedua-dua pihak untuk memulakannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Kami boleh menggunakan dana itu sebagai satu mekanisme dan mencadangkannya kepada negara-negara kaya seperti di Asia Barat dan Brunei untuk menyuntik dana dan kemudiannya, menyalurkannya ke negara-negara anggota IDB yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan bekalan makanan," katanya.

Biasanya, negara-negara yang mempunyai sumber untuk mengeluarkan bekalan makanan, tidak mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi untuk mengembangkan pengeluaran mereka dan memasarkannya di luar negara mereka.

Sementara itu, anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang lebih kaya seperti di Asia Barat mempunyai keupayaan kewangan tetapi tidak mempunyai sumber seperti tanah dan tenaga kerja untuk menghasilkan makanan.

Sebagai contoh, Jamil berkata, negara-negara seperti Sudan dan Pakistan mempunyai keupayaan untuk menjadi pengeluar daging halal tetapi mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menjadi pengeksport daging global.

Sementara itu, di Malaysia, terdapat peluang pelaburan halal yang bernilai lebih AS$500 juta (RM1.5 bilion) di mana perniagaan pertanian merupakan antara perniagaan menguntungkan yang boleh dimanfaatkan.

Jamil berkata, ini adalah bahagian di mana negara-negara OIC boleh memanfaatkan keupayaan antara satu sama lain dan pada masa yang sama, memastikan bekalan makanan halal yang mencukupi bagi dunia Islam tanpa perlu bergantung kepada pengeluar makanan tradisional.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja akan menangani kekurangan bekalan makanan halal dunia tetapi juga merupakan cara untuk menangani kenaikan kos harga makanan.

“Harga makanan antarabangsa meningkat dengan mendadak dari pertengahan 2010 hingga 2011, memberi amaran kepada negara-negara membangun tentang pengulangan krisis harga makanan 2007-2008," katanya yang memetik data daripada laporan Economic and Social for Commission for Asia and the Pacific (ESCAP).

Beliau berkata, dengan pertumbuhan ekonomi, kenaikan pendapatan boleh guna serta peningkatan kesedaran halal, dagangan produk halal terutamanya produk makanan dan daging juga meningkat dengan pesat.

Pengguna bukan Islam di Belanda juga menunjukkan minat terhadap makanan halal di mana jumlah permintaan dianggar mencecah kira-kira US$3 bilion (RM9 bilion) setahun.

Dengan kemungkinan gangguan bekalan, beliau berkata, terdapat keperluan yang amat serius bagi pelaburan dalam projek pertanian terutamanya di negara Islam sedang membangun dan kurang maju.

“Kami sedang merangka pelan tindakan dengan IDB bagi jaminan makanan untuk mencari satu penyelesaian. Dana itu akan menjadi satu daripada cadangan penyelesaian serta kerjasama baharu lain antara kami," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment