My Add

Wednesday 2 May 2012

Hentikan perhimpunan haram'

Bertindak terhadap peniaga asing terlibat Bersih 3.0
Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 1 Mei - Para peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini yang mengalami kerugian besar semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, meminta pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti menganjurkan perhimpunan haram yang banyak menyusahkan rakyat dan negara.

Rata-rata peniaga di kawasan berkenaan mengakui mereka akan hilang pendapatan setiap kali berlaku perhimpunan anjuran pembangkang kerana orang ramai tidak berani keluar untuk membeli-belah pada hari berkenaan.

Pemilik kedai gambar di pusat beli-belah Kompleks Pertama, Ikhlas Ridzuan, 49, berkata, pengalaman pahit hilang punca pendapatan bukan hanya berlaku semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu tetapi sudah lama iaitu sejak tercetusnya reformasi Anwar Ibrahim pada 1998.
*MOHD. Ridzuan Abdullah (tiga dari kiri) bersama para peniaga Jalan Tuanku Abdul Rahman yang terjejas pendapatan akibat perhimpunan Bersih 3.0 selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dan tindakan diambil terhadap peniaga warga asing haram yang didakwa turut menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu.
Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, ramai peniaga di ibu negara tampil membuat aduan kepada pihaknya memaklumkan mereka mengalami kerugian besar akibat kekecohan yang tercetus semasa perhimpunan Bersih 3.0.

Beliau berkata, kerugian tersebut adalah kali kedua ditanggung oleh peniaga berkenaan selepas melalui pengalaman sama semasa Bersih 2.0 pada Julai tahun lalu.

"Kami membuat laporan kerana ramai peniaga di sekitar Kuala Lumpur telah membuat aduan memaklumkan mereka mengalami kerugian besar akibat Bersih 3.0.

"Semasa perhimpunan tersebut, difahamkan ramai peniaga warga asing haram mengambil bahagian dan kita mahu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Imigresen dan polis mengambil tindakan terhadap peniaga berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya juga meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tindakan terhadap penganjur Bersih 2.0, Bersih 3.0, Himpunan Patriot (Patriot) serta pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan sebelum ini.

Beliau berkata, disebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil tindakan terhadap penganjur Bersih 2.0, maka Bersih 3.0 muncul pada Sabtu lalu dan tidak mustahil penganjur akan merancang mengadakan Bersih 4.0 pada masa hadapan jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Katanya, Ikhlas mewakili 317 peniaga yang terjejas pendapatan semasa Bersih 2.0 juga kesal kerana permohonan pengesahan pihaknya untuk menuntut ganti rugi sebanyak RM817,205 yang sudah diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak mendapat maklum balas sehingga kini.

"Kepada Peguam Negara, kita minta beliau segera memberi jawapan kepada permohonan tersebut atau meletak jawatan jika gagal kerana sikapnya adalah bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang mahu direalisasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan turut menggesa para peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan di negara ini agar berhenti memberi sokongan kepada pembangkang yang jelas tidak menghormati undang-undang dan sering menyusahkan rakyat melalui tindakan mereka menganjurkan perhimpunan haram seperti Bersih 3.0.

Katanya, tindakan menyokong pembangkang bukan sahaja menjejaskan pendapatan peniaga tetapi ekonomi Melaysia secara keseluruhannya kerana pelabur akan takut untuk datang ke negara ini apabila berlaku huru-hara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment