My Add

Monday 7 May 2012

Hormati, patuhi keputusan Majlis Fatwa mengenai demonstrasi

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 07 Mei, 2012:: Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan setiap keputusan dibuat tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Majlis fatwa sudah putuskan (haram menyertai demonstrasi yang mencetuskan huru-hara). Jadi, kita serahkan kepada Majlis fatwa kerana ia (jawatankuasa) dilantik oleh raja-raja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena penganjuran Karnival Al-Hijrah peringkat negeri Terengganu, di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hijrah Media Corporation, Bukhari Che Muda. 

Jamil Khir berkata demikian ketika mengulas keputusan muzakarah jawatankuasa berkenaan yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undangan-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. 

Jamil Khir berkata beliau juga melihat tindakan pemimpin PAS mempertikaikan keputusan jawatankuasa berkenaan sebagai perkara biasa dalam politik. 

Sementara itu, beliau berkata sebuah buku mengenai perkahwinan campur yang antara kandungannya memberi mesej wanita Islam dibenarkan mengahwini lelaki bukan Islam dalam pemerhatian jawatankuasa khas di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

Katanya, KDN akan membuat keputusan mengenai buku yang dikesan disebar meluas secara percuma di negara ini. 

Pendedahan mengenai buku itu dibuat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin selepas mengadakan ceramah umum Pendedahan Eksklusif Wajah Sebenar Anwar Ibrahim di Kampung Sungai Kiat di sini, minggu lalu. 

Penerbitan buku itu didakwa ditaja oleh yayasan Jerman, Konrad Adenauer Foundation atau sekarang lebih dikenali sebagai Konrad Adenauer Stiftung (KAS) yang menurut Zulkifli, yayasan berkenaan terlibat membantu penajaan badan pemikir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Institut Kajian Dasar (IKD). 

Zulkifli berkata penyebaran buku berkenaan perlu diharamkan dan siasatan mengenainya perlu dibuat segera bagi menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment