My Add

Friday 18 May 2012

Jangan berat sebelah - Muhyiddin

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Majlis Peguam perlu berhenti daripada bersikap berat sebelah dan hanya pandai mencari salah kerajaan semata-mata, sebaliknya harus menjadi sebuah badan berintegriti, adil serta saksama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini imej Majlis Peguam tercemar teruk kerana perbuatan segelintir pemimpin dalam badan berkenaan yang berpihak sepenuhnya kepada pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab pemimpin dalam Majlis Peguam untuk membersihkan persepsi dan mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap badan berkenaan yang kini dikecam hebat.

Menurut beliau, sekiranya keadaan itu gagal diperbetulkan, maka Majlis Peguam tidak perlu melenting jika pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaran agar badan berkenaan menjadi parti politik.

"Kalau anda (Majlis Peguam) seorang manusia yang adil, mana yang betul kena cakap betullah, jangan berat sebelah tetapi dalam banyak hal, Majlis Peguam berat sebelah dan hanya mahu mencari salah kerajaan semata-mata.

"Sampaikan kita tidak perlu menunggu keputusan mesyuarat sebab kita sudah tahu keputusan. Kita tahu niat, kecenderungan serta hatinya di mana Majlis Peguam ini. Mereka memihak sepenuhnya kepada pembangkang dalam apa keputusan.

"Jika mereka mahu dilihat sebagai badan berintegriti, pemimpin dalam Majlis Peguam perlu pikul beban ini kerana tindakan mereka tidak mewakili majoriti suara peguam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis Peguam kini dikecam pelbagai pihak selepas badan itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Jumaat lalu, yang meluluskan resolusi mengecam tindakan pihak polis ke atas peserta demonstrasi Bersih 3.0.

Serentak itu, pelbagai pihak mencadangkan agar ditubuhkan Akademi Undang-Undang sebagai alternatif kepada Majlis Peguam yang kini dilihat tidak ubah seperti sebuah parti komponen kepada pembangkang.

Dalam pada itu, Muhyiddin ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang itu berkata, setakat ini, belum ada perbincangan serius mengenai perkara tersebut dan ia perlu diteliti dengan rapi.

"Suara (cadangan) ini timbul ekoran kerenah Majlis Peguam, tetapi saya tidak fikir semua ahli Majlis Peguam bersetuju dengan tindakan badan berkenaan, majoriti kalangan peguam tidak setuju," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment