My Add

Monday 7 May 2012

Kenaikan harga setem tidak bebankan pengguna

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa kenaikan harga setem dari 30 sen kepada 60 sen sejak 1 Julai 2010 tidak membebankan rakyat secara keseluruhannya. 

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, berkata ini kerana pada masa ini pelanggan korporat adalah pengguna utama perkhidmatan pos dan ia membabitkan lebih 90 peratus daripada sejumlah 1.2 bilion produk mel setahun.

"Kadar lama sebanyak 30 sen digunakan sejak tahun 1992 dan tidak pernah mengalami sebarang kenaikan," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Lee Cheam Choon yang ingin tahu tindakan kementerian untuk mengatasi kenaikan harga setem dan perkhidmatan pos yang membebankan rakyat berikutan program penswastaan Pos Malaysia.

Salang berkata, kenaikan harga setem tidak mempunyai sebarang kaitan dengan program penswastaan Pos Malaysia Berhad yang dilaksanakan pada 4 Julai 2011 iaitu pengambilalihan aset pegangan saham Khazanah Nasional oleh DRB Hicom. 

Malah kenaikan harga setem itumembolehkan Pos Malaysia Berhad membuat penstrukturan semula gaji 15,000 posmen dan kerani pos yang mempunyai lebih 90,000 tanggungan untuk menikmati taraf hidup yang lebih baik, katanya. 

"Justeru, gaji posmen dan kerani pos tidak lagi di bawah paras kemiskinan," katanya. 

Salang berkata, walaupun diswastakan, Pos Malaysia Berhad masih perlu menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam menyediakan perkhidmatan pos percuma kepada golongan tertentu selaras dengan Akta Perkhidmatan Pos 2011. 

Beliau berkata, antara golongan yang mendapat perkhidmatan pos secara percuma ialah Persatuan Orang Buta Malaysia, Pertubuhan Orang Cacat Anggota Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Yayasan Basmi Kemiskinan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. 

Dalam pada itu Salang berkata, Pos Malaysia Berhad juga melaksanakan Program Transformasi Pos di Sabah dan Sarawak bagi memastikan pencapaian akses penduduk kepada perkhidmatan pos di bandar dan luar bandar tercapai. 

Katanya, menerusi program transformasi itu seramai 450 posmen komuniti dan 600 wakil pos dilantik sekaligus memberi manfaat kepada dua juta penduduk yang sebelum ini terpaksa ke pusat pungutan surat untuk mendapatkan surat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment