My Add

Monday, 7 May 2012

Peneroka teruja tunggu khabar gembira dari Najib

*KAIN rentang di pintu gerbang siap dipasang bagi mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Felda Jengka 8, Pahang, esok sempena Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri. Perdana Menteri bakal membawa khabar gembira kepada 112,635 warga peneroka dengan mengumumkan `durian runtuh' selepas FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) Berhad disenaraikan ke Bursa Malaysia. - Foto Luqman Hakim Zubir

BANDAR TUN ABDUL RAZAK, ISNIN, 07 Mei, 2012: : Kegembiraan terbayang di setiap wajah peneroka FELDA khususnya yang tinggal di FELDA Wilayah Jengka yang akan menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

Tinjauan Berita Harian hari ini mendapati setiap penjuru tanah rancangan FELDA Jengka 8, dekat sini, dihiasi dengan potret wajah Perdana Menteri selain kawasan persekitaran rumah dibersihkan dan dipasang Jalur Gemilang.

Kedatangan Perdana Menteri bakal membawa khabar gembira kepada 112,635 warga peneroka kerana beliau akan mengumumkan `durian runtuh' kepada peneroka selepas FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) Berhad disenaraikan ke Bursa Malaysia.

Bagi peneroka yang bakal menerima durian runtuh sudah tentu ‘teruja’ menantikan pengumuman mengenai jumlah yang akan diperoleh.

Malah, ada kalangan peneroka sedang berkira-kira jumlah yang bakal diterima dan ada yang membuat spekulasi akan menerima lebih RM15,000 malah tidak kurang juga menjangkakan angka berkenaan mencecah RM20,000.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 15, Adnan Darus, 54, berkata peneroka berterima kasih kepada kerajaan dengan ‘durian runtuh' yang akan diberi kerajaan.

Katanya, peneroka bagaimanapun diingatkan tidak perlu terlalu `ghairah' untuk berbelanja besar, sebaliknya perlu menyimpan sebahagian dari wang yang akan diterima bagi menjamin masa depan demi meningkatkan taraf hidup.
“Bagi saya, sebahagian wang akan digunakan bagi membiayai persekolahan anak dan disimpan ke dalam Amanah Saham Nasional (ASB) bagi menjamin masa depan keluarga.

“Ini kerana, jika tidak diurus dengan baik akhirnya mendatangkan kerugian jangka panjang kerana kami bukan keluarga yang senang. Namun apa yang diterima ini adalah usaha kerajaan melaksanakan tranformasi dalam semua pentadbiran kerajaan.

“Oleh itu, tidak ada sebab peneroka menolak kepemimpinan Perdana Menteri khususnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah masa kini,” katanya di sini, semalam.

Naib Pengerusi JKKR FELDA Jengka 23, Sulaiman Bakar, 56, berkata peneroka boleh menggunakan wang berkenaan untuk menambah pelaburan dalam Koperasi Permodalan FELDA ( KPF) atau institusi yang diluluskan kerajaan.

Katanya, mengikut ramalan awalnya setiap peneroka dijangka menikmati imbuhan melebihi RM10,000 dan jumlah itu sebenarnya bukan sedikit.

“Peneroka perlu memanfaatkan durian runtuh yang diterima untuk kesejahteraan keluarga dan bukannya membantu pembangkang dalam kempen atau dakyah memburukkan kerajaan.

“Ini kerana, ada juga peneroka yang sanggup membelanjakan pendapatan bagi tujuan tidak sepatutnya termasuklah menderma kepada parti pembangkang ketika mereka mengadakan ceramah,” katanya.

Beliau berkata, peneroka perlu sedar bahawa pihak pembangkang hanya tahu menaburkan pelbagai janji sebaliknya tidak mampu mengotakannya.

Sementara itu, seorang peneroka tanah rancangan FELDA Jengka 14, Abdul Rahman Saari, 56 berkata persiapan menyambut kedatangan Perdana Menteri dirasai seluruh masyarakat peneroka di tanah rancangan FELDA Wilayah Jengka.

Katanya, peneroka menyedari Perdana Menteri mempunyai sifat suka bertemu dengan rakyat terutama di kawasan luar bandar khususnya tanah rancangan FELDA.

“Masyarakat peneroka tidak akan menolak kepemimpinan beliau malah memberi sokongan agar kerajaan terus berkuasa memimpin selepas pilihan raya kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment