My Add

Wednesday 9 May 2012

Keputusan fatwa perlu dilihat secara menyeluruh

KUANTAN, RABU, 09 Mei, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu melihat secara menyeluruh keputusan Jawatankuasa Fatwa yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan hura-hara, sebelum membuat sebarang maklum balas mengenainya.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang, Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap berkata, Nik Aziz sendiri sepatutnya membuka kedua-dua matanya supaya dapat melihat dengan jelas apa yang telah berlaku semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas.

Katanya, perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu bertukar ganas dan mencetuskan suasana huru-hara sehingga mendatangkan kecederaan dan kerosakkan harta benda awam.

"Kegiatan ekonomi di kawasan terbabit terganggu selain kekotoran yang berlaku selepas perhimpunan itu berlangsung. Adakah apa yang dipaparkan sebelum ini masih kurang jelas?" katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abd Wahid berkata beliau yakin muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia melihat secara menyeluruh mengenai perhimpunan itu sehingga akhirnya memutuskan untuk mengharamkan umat Islam menyertainya.

Apa yang perlu, kata beliau Nik Aziz bukan hanya sekadar perlu melihat tujuan perhimpunan itu diadakan tetapi juga harus melihat kesudahan perhimpunan berkenaan yang memberi kesan negatif.

Laporan media semalam menyatakan Mursyidul Am Pas itu melalui laman sosial Facebook menyifatkan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berat sebelah dan hanya menggunakan "sebelah mata" apabila mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan memutuskan umat Islam haram menyertainya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment