My Add

Monday 28 May 2012

Kerajaan Pusat peruntuk RM50 juta setahun

*TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menerima replika cek daripada Jamil Khir Baharom (kiri) pada majlis penyerahan zakat perniagaan Tabung Haji di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID
ALOR SETAR, AHAD, 27 Mei, 2012: Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta setahun kepada golongan imam, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan Pegawai Penyelia Masjid Daerah (PPMD) bagi memartabatkan syiar Islam di Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagaimanapun berkata, terdapat pihak tertentu termasuk golongan terbabit tidak mengetahui peruntukan itu diberikan oleh Kerajaan Pusat dalam bentuk geran tahunan.

"Tiap-tiap tahun kita beri tetapi orang tidak tahu yang peruntukan ini datang daripada Kerajaan Pusat dan lazimnya berlaku salah faham di sini.

"Sebab itu saya jelaskan perkara ini hari ini dan saya mahu semua imam, guru KAFA, guru takmir dan PPMD bersama-sama dengan kerajaan menegakkan syiar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji berjumlah RM3,297,105.03 bagi 2011 kepada Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Jamil Khir menyerahkan zakat tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.

Mengenai zakat berkenaan, Jamil Khir memberitahu, pembayaran zakat itu merupakan komitmen Lembaga Tabung Haji untuk negeri ini dan merupakan acara tahunan bagi membantu mereka yang memerlukan seperti golongan miskin.

"Jumlah pengeluaran zakat kali ini meningkat berbanding RM3.1 juta pada tahun lalu dan saya lihat perkembangan ini merupakan sesuatu yang baik," katanya.

Menurut Jamil Khir, peningkatan jumlah pengeluaran zakat oleh Lembaga Tabung Haji itu memberi gambaran umat Islam mempunyai kemampuan menyimpan wang dalam jumlah yang besar.

"Ini juga menunjukkan tahap ekonomi mereka berkembang selain kuasa beli dan kuasa kewangan umat Islam semakin mengukuh.

"Selain itu, jumlah pendeposit yang layak untuk menunaikan haji juga semakin bertambah," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment