My Add

Friday 4 May 2012

Larian Bendera UMNO kini di Pulau Pinang



*ABDULLAH Ahmad Badawi meneruskan larian membawa bendera UMNO sejurus penyerahan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Ahmad Bashah Md. Hanipah (tiga dari kiri) sempena sambutan ulang tahun ke-66 UMNO di Jambatan Merdeka Bumbong Lima, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah hari ini menyerahkan Bendera Sang Saka Bangsa kepada UMNO Pulau Pinang bagi meneruskan Larian Bendera UMNO yang diadakan sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-66.

Bendera tersebut diserahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah kepada bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

Majlis penyerahan bendera itu berlangsung di atas Jambatan Merdeka di Bumbung Lima dekat sini pada pukul 5.15 petang.

Sementara itu, Abdullah yang juga bekas Perdana Menteri berkata, acara tersebut adalah lambang kejayaan dan perjuangan parti selama ini.

''Ia akan dibuktikan dengan perjuangan UMNO untuk mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

''Kita terima bendera keramat ini sebagai lambang persaudaraan dalam satu perjuangan ke arah membawa kejayaan," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Sementara itu, Timbalan pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, larian bendera tersebut akan dibawa ke seluruh negeri mulai esok.

Katanya, bendera itu akan diserahkan kepada UMNO Perak di padang Majlis Perbandaran Parit Buntar, Sabtu ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment