My Add

Saturday, 19 May 2012

Lelaki maut dalam kebakaran di Alor Setar

ALOR SETAR, SABTU, 19 Mei, 2012: Seorang lelaki ditemui mati di bawah katil di dalam sebuah bilik di rumahnya dalam kebakaran di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Eng Heo, 53, mati di tempat kejadian
kerana terbakar 50 peratus di bahagian kepala dan badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mohd Fauzi Abdullah, berkata
pihaknya menerima panggilan pada jam 7.05 petang dan bergegas ke tempat
kejadian bersama dua jentera dan 12 anggota.

Katanya, anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran
daripada merebak ke rumah bersebelahan dan menemui mayat lelaki itu di dalam
sebuah bilik.

Jiran mangsa, Ooi Poh Sin, 54, berkata ketika kejadian, dia berada di dalam
rumahnya dan terdengar bunyi letupan kuat dan apabila keluar, dia mendapati
rumah mangsa sedang terbakar.

Panik dengan kejadian itu, Ooi berkata, dia bersama anaknya lari menyelamatkan diri kerana bimbang kebakaran merebak ke rumahnya yang tidak jauh dari rumah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Mayat Eng dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini sebelum dituntut keluarganya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment