My Add

Wednesday 2 May 2012

Lesen Lynas boleh ditarik jika langgar peraturan

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Mei, 2012: Lesen bagi syarikat pemprosesan nadir bumi dari Australia, Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Kuantan boleh ditarik balik dan operasinya diberhentikan serta merta jika syarikat itu melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, Persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Muhkriz Mahathir, berkata kelulusan dan operasi syarikat itu adalah tertakluk kepada dua akta iaitu Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1970.

"Pelaksanaan projek nadir bumi juga berdasarkan fakta saintifik dan teknikal bahawa ia adalah ditentukan dari segi keselamatan dan tidak membahayakan kesihatan orang awam serta tidak menjejaskan alam sekitar." katanya ketika menjawab Senator Dr S Ramakrishan.

Mukhriz berkata, projek pemprosesan nadir bumi adalah industri strategik dan memberi faedah kepada negara. 

"Malaysia akan menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menghasilkan bahan mentah serta input yang penting bagi keluaran berteknologi tinggi seperti 'compact florescent lamp, auto catalytic converter, disk drives dan flat panel displat', disk drives dan super magnets' untuk industri tenaga yang boleh diperbaharui. 

"Selain itu, ianya turut mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan pertukaran mata wang asing negara, pemindahan teknologi, menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta mempunyai potensi menarik pelaburan baharu dalam sektor hiliran berteknologi tinggi," katanya. 

Menjawab soalan tambahan ahli yang sama, Mukhriz berkata keputusan Lynas untuk membuka operasi di Malaysia adalah keputusan syarikat itu sendiri bersesuaian dengan keadaan, kewangan dan ekonominya, dan tiada berkaitan dengan kerajaan Australia. 

"Malaysia mempunyai kluster industri kimia yang dapat membantu pembekalan bahan-bahan mentah yang diperlukan.

"Malah negara kita berdekatan dengan negara pasaran seperti China, Jepun dan Taiwan," katanya. 

Dalam wawancara dengan BERNAMA baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis, berkata Malaysia adalah destinasi pelaburan yang baik dan Gebeng mempunyai infrastruktur yang perlu untuk industri berat. 

Isu kilang itu mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak membantah pembinaannya yang dikatakan bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai. 

No comments:

Post a Comment