My Add

Saturday 12 May 2012

Najib bersarapan dengan 4 pengikut Twitter


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beramah mesra ketika bersarapan dengan pengikut Twitter beliau ke-500,000 dan tiga pengikut bertuah lain di Kafe Chawan, Bangsar, pagi tadi. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR, SABTU, 12 Mei, 2012: Anwaruddin Izzuddin, 15, pengikut ke-500,000 Twitter Datuk Seri Najib Razak, dan tiga lagi pengikut bertuah, hari ini mendapat peluang yang mungkin menjelma hanya sekali dalam hidup mereka - bersarapan dengan Perdana Menteri. 

Tiga pengikut lain ialah Lim Weng Marc, Shashi Muniandy dan Mohd Azhar Hashim.

Mereka masing-masing membawa seorang tetamu untuk menikmati sarapan bersama Najib di Chawan Restaurant di Bangsar di sini.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam bersama tetamu beliau sambil menikmati hidangan nasi lemak, telur rebus dan teh tarik. 

Beliau berbual dengan mereka mengenai pelbagai perkara, daripada politik hinggalah kepada pilihan raya dan kehidupan seharian, serta menandatangi autograf. 

Pada pertemuan dengan pemberita kemudian, Anwaruddin berkata dia sungguh gembira apabila mendapat tahu menjadi pengikut ke-500,000 Twitter Najib. 

"Tapi, apabila mendapat panggilan daripada 1Malaysia.com seminggu lalu mengenai berita itu dan untuk menghadiri majlis ini, saya sangka ia hanya suatu gurauan. Saya macam tak percaya mendapat peluang untuk duduk bersarapan bersama perdana menteri," katanya. 

Anwaruddin berkata, dia menjadi pengikut @NajibRazak selepas mendapat tahu daripada abangnya bahawa perdana menteri mengadakan peraduan untuk berjumpa dengan pengikut Twitternya yang ke-500,000. 

Pelajar SMK Sri Hartamas ini menyifatkan perdana menteri sebagai "seorang yang bersahaja dan tenang" berbanding kebanyakan mereka yang seusia dengan beliau. 

"Kami juga bercakap mengenai Manchester United. Perdana menteri memberitahu kami yang beliau sungguh teringin untuk ke Old Trafford bagi menonton perlawanan MU, tapi masih belum berpeluang berbuat demikian," katanya. 

Lim Weng Marc, 24, pula berkata peluang itu membolehkannya mengenali perdana menteri secara lebih dekat dan mengetahui mengenai tugas beliau. 

"Beliau bercerita kepada kami mengenai usahanya untuk menambah baik negara ini dan kami dapat melihat bahawa beliau benar-benar bersemangat serta ikhlas dengan tugas beliau," katanya. 

Pemuda ini berkata mereka juga bertanya tentang tarikh pilihan raya umum, tetapi perdana menteri tidak memberi sebarang bayangan mengenainya. 

Lim membawa ibunya, Juliana Oo, 60, yang menyifatkan peluang bersarapan bersama perdana menteri itu sebagai hadiah paling besar sempena Hari Ibu yang pernah diterimanya. 

Hari Ibu disambut esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment