My Add

Wednesday 2 May 2012

NPC bimbang dengan serangan ke atas wartawan

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Mei, 2012: Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) hari ini melahirkan rasa bimbang dengan kejadian serangan terhadap wartawan, jurufoto dan jurukamera ketika perhimpunan pada Sabtu lalu di ibu kota. 

Presidennya, Mokhtar Hussain, berkata pertubuhan itu juga bimbang dengan dakwaan kekerasan yang dilakukan ke atas petugas media baik oleh peserta perhimpunan mahupun anggota pasukan keselamatan.

"Walaupun cerita yang berbeza akan bagaimana mereka diserang atau oleh siapa, siasatan yang adil oleh pihak berkuasa mengenai serangan ke atas mereka amat dialu-alukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota media harus dibenarkan bertugas dalam situasi sedemikian tanpa rasa gentar atau pilih kasih. 

Perhimpunan yang disokong pembangkang itu berakhir dengan huru-hara apabila peserta bertindak merempuh halangan polis dan pihak berkuasa bertindak balas dengan semburan air serta gas pemedih mata. 

Beberapa petugas media mengalami kecederaan sehingga ada yang menerima jahitan serta dirawat di hospital. Selain itu mereka juga menanggung kerugian akibat peralatan rosak. 

"Kami bimbang dan sedih melihat petugas media diserang oleh semua pihak dalam kejadian itu. Serangan itu tidak sepatutnya berlaku," katanya. 

Beliau berkata, pelaku patut berasa malu dengan dengan sendiri kerana mereka sepatutnya lebih tahu untuk mengawal diri dalam keadaan tegang seperti itu. 

"Situasi sebegitu bukan saja membawa impak kepada kesejahteraan fizikal wartawan tetapi juga nilai-nilai asas demokrasi yang ada dalam kewartawanan, hak untuk mendapat maklumat yang pelbagai dari banyak pihak dan liputan pada acara-acara yang mempunyai nilai berita," katanya. 

Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), Muharyani Othman, pula meminta semua pihak yang berkenaan agar tidak menyerang petugas media kerana mereka hanya menjalankan tugas merakamkan peristiwa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment