My Add

Thursday 24 May 2012

Pelajar UPM dinasihat tidak sertai demonstrasi

SERDANG, RABU, 23 Mei, 2012: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihati pelajar universiti khususnya pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), agar tidak melibatkan diri dalam demonstrasi jalanan.

Sultan Sharafuddin yang juga Canselor UPM, bertitah demontrasi jalanan amat tidak bersesuaian dengan budaya di negara ini kerana perbuatan itu hanya mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat.

"Adalah menjadi kebiasaan manusia apabila mereka berkumpul secara beramai-ramai dan berarak di bandar-banda raya, ia akan mencetuskan hura-hara kerana akan ada yang bertindak mengikut emosi yang tidak terkawal," titah baginda pada majlis Gemilang Akademia UPM, di sini hari ini.

Titah baginda perbuatan tersebut mendedahkan pelajar kepada tindakan undang-undang seterusnya tuduhan di mahkamah dan tindakan dibuang universiti.

"Pelajar sepatutnya menumpukan perhatian di dewan kuliah atau di perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran bersesuaian dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar universiti.

"Kita perlu ingat bahawa ramai lagi pelajar yang tidak dapat peluang untuk belajar di universiti, oleh itu janganlah dipersiakan peluang yang ada itu dan menghampakan harapan ibu bapa serta keluarga," titah baginda.

Titah baginda lagi golongan pelajar merupakan aset negara dan kejayaan mereka merupakan kejayaan negara.

Meskipun hasrat kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada pelajar universiti untuk melibatkan diri dengan politik dan berpersatuan, tetapi ia perlu dilakukan secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan masyarakat dan mematuhi undang-undang pada setiap masa, titah baginda.

Sultan Sharafuddin berharap pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada di universiti bagi membangunkan kapasiti dan potensi diri untuk kemajuan bangsa dan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment