My Add

Wednesday 2 May 2012

Penjualan tanah di Bayan Mutiara tIdak ikut penilaian

GEORGE TOWN, RABU, 02 Mei, 2012: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengakui penjualan tanah di Bayan Mutiara tidak mengikut penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Beliau berkata, tapak tanah seluas 102.56 ekar (kira-kira 41 hektar) itu telah dijual kepada Ivory Properties Group Bhd (IPGB) secara tender terbuka melalui kaedah "permohonan untuk cadangan" bagi tujuan pembangunan bercampur.

"Saya akui kerajaan negeri tidak ikut penilaian yang ditetapkan Jabatan Penilaian...sedangkan kerajaan negeri telah tetapkan harga rizab RM200 sekaki persegi.

"Menerusi tender terbuka secara kompetitif maka ia dijual dengan harga lebih tinggi iaitu sebanyak RM240 sekaki persegi," katanya ketika menjawab soalan Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Jasmin ingin tahu dengan terperinci berhubung kes penjualan tanah Bayan Mutiara meliputi kaedah penjualannya dan untuk tujuan apa tanah itu dijual.

Guan Eng berkata, tawaran tender terbuka yang kompetitif itu dibuka pada 16 Ogos 2010 dan ditutup pada 31 Dis tahun yang sama dengan harga rizab sebanyak RM200 sekaki persegi dengan bayaran deposit sebanyak RM1.2 juta.

Beliau berkata, sebanyak empat syarikat telah mengemukakan tender iaitu Chia Tai Xingye Ind. Dev. Ltd, SP Setia Bhd, IPGB dan AG Pearl Sdn Bhd. Bagaimanapun, katanya tiga syarikat telah membentangkan cadangan pembangunan masing-masing kepada Jawatankuasa Penilaian yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersetuju menerima tawaran daripada IPGB yang mengemukakan harga tawaran paling tinggi berbanding dua syarikat lain iaitu sebanyak RM240 sekaki persegi dengan bayaran RM1.07 bilion yang akan dijelaskan dalam tempoh lima tahun.

Guan Eng berkata, keseluruhan projek perlu disiapkan dalam tempoh lapan tahun dari tarikh perjanjian pembelian dan pembangunan (PDA) ditandatangani iaitu pada 11 Nov 2011, dengan merangkumi komponen wajib, penebusan tanah 35 ekar (kira-kira 14 hektar), pembayaran mengikut jadual dalam tempoh lima tahun serta bon sebanyak RM50 juta sebagai deposit sekuriti.

Beliau berkata, adalah terlalu awal untuk berteka-teki bentuk kemajuan memandangkan IPGB belum membentangkan pelan pemajuan kebenaran merancang.

"Memandangkan ini adalah tapak tanah baru yang lebih besar daripada yang lama, tentulah ia melibatkan permohonan baru. Perlu diingatkan sebarang permohonan baru perlu akur dengan peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk tapak masjid atau surau, tempat beribadat bukan Islam, sekolah, jalan dan taman," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment