My Add

Monday 7 May 2012

Peruntukan pelancongan Negeri Sembilan RM21.9 juta

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG, AHAD. 06 Mei, 2012: Kementerian Pelancongan telah memperuntukkan RM21.9 juta kepada kerajaan Negeri Sembilan bagi melaksanakan 34 projek pelancongan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit berkata, usaha berkenaan dilaksanakan bagi membolehkan kawasan pelancongan terlibat diberi nafas baru selain dijadikan pusat penjanaan ekonomi setempat.

Katanya, ia merupakan cara terbaik bagi meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong asing bagi menjadikan negeri ini destinasi utama percutian mereka.

“Pelancong asing mempunyai kuasa beli yang tinggi, oleh itu adalah penting bagi kita untuk menyediakan kemudahan yang bersesuaian dengan kehendak mereka.

“Negeri Sembilan mempunyai banyak lokasi yang boleh dilawati seperti Muzium Tentera Darat selain inap desa dan eko pelancongan di Sengai Menyala yang mampu menjana pendapatan bukan sahaja kepada penduduk setempat malah kepada ekonomi negeri," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Air Malaysia 2012 di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.

Dalam pada itu, Mohammad Razi dalam ucapannya menjelaskan, Pesta Air 2012 yang dianjurkan ini merupakan salah satu aktiviti pelancongan yang diadakan dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Jelas beliau, aktiviti tahunan ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai dan ia dijangka mampu meningkatkan lagi jumlah pelancong ke negeri ini secara berterusan.

“Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan dan antara program terbaru yang kita bawakan ialah Cabaran Paintball Pantai Port Dickson, Cabaran Jetski Port Dickson dan Larian Pantai Malam Port Dickson.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita sentiasa merancang memperbanyakkan lagi program dan pembangunan bagi menaikkan lagi jumlah pelancong di negeri ini," katanya. - UYUSAN

...

No comments:

Post a Comment