My Add

Tuesday, 29 May 2012

PM ingatkan rakyat jangan sia-siakan warga emas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak mensesiakan kehidupan warga emas kerana mereka merupakan khazanah tidak ternilai buat negara.

Malah, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini terutama anak-anak dalam memastikan kebajikan warga emas terutama ibu bapa sendiri sentiasa terpelihara kerana ia merupakan suatu yang amat dituntut oleh agama selain sejajar dengan nilai ketimuran.

Beliau berkata, atas asas itu juga, kerajaan komited menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan golongan berkenaan semakin meningkat tua tetapi masih aktif, produktif dan sihat.

"Kita telah menyediakan pelbagai program serta kemudahan untuk mereka dan pada hari ini saya umumkan dua lagi kemudahan yang akan kita sediakan untuk golongan ini.

"Pertama, selain diberi kemudahan menerima rawatan percuma di klinik dan hospital kerajaan, kita akan menghantar pasukan perubatan ke 48 pusat penjagaan warga emas yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekurang-kurangnya sebulan sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) Warga Emas di Rumah Sejahtera Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Pengerusi Rumah Sejahtera Seri Kembangan, Datuk Yap Pian Hon.

Kedua, Perdana Menteri berkata, pihak Astro bersetuju memberi langganan siaran secara percuma di 48 pusat penjagaan berkenaan bagi membolehkan warga emas mengikuti siaran yang mereka gemari.

Beliau berkata, diharapkan dengan dua lagi kemudahan yang diumumkan hari ini, ia akan meningkatkan lagi taraf kehidupan warga emas di negara ini.

"Selama ini, Kementerian Kesihatan telah menyediakan kemudahan perubatan percuma di klinik dan hospital kerajaan untuk warga emas termasuk pengecualian RM5 untuk caj pendaftaran rawatan pakar.

"Hasilnya, sesi lawatan untuk pemeriksaan kesihatan warga emas amat baik termasuk lawatan ulangan. Oleh itu, untuk kemudahan akan datang kerajaan membuat keputusan menghantar pasukan perubatan ke pusat penjagaan orang tua pula," katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya turut menyentuh peranan Karisma meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat termasuk warga emas tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara.

"Perlu kita sedar bahawa kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment