My Add

Wednesday 16 May 2012

September sesuai untuk pilihan raya

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Mei, 2012: September dijangka tarikh yang paling sesuai untuk kerajaan melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, September mungkin tarikh paling sesuai berdasarkan momentum pentadbiran kerajaan yang berada pada tahap terbaik sekarang.

"September paling sesuai, tidak pada Jun sebab mesti ada jangka masa persediaan jentera untuk pilihan raya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan sudah bersiap sedia untuk menguruskan PRU-13 sekiranya Parlimen dibubarkan bulan ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ramalan itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kerajaan mahu mempercepatkan proses pilihan raya berkenaan.

"Kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hendak mempercepatkan proses, boleh jadi Julai sebelum puasa. Tahun depan agak mustahil sebab terlalu dekat dengan tarikh akhir pembubaran Parlimen," katanya.

Sementara itu, tokoh akademik pengurusan strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Za'faran Hassan berkata, pengumuman persediaan SPR bukan petanda mutlak PRU-13 akan diadakan dalam masa terdekat.

"Ia sekadar pengumuman biasa yang dilakukan oleh badan itu sebagai bukti mereka sudah bersedia," katanya.

Penganalisis politik itu juga memilih September sebagai masa paling munasabah setelah mengambil kira tarikh pembentangan bajet pada Oktober.

"Saya percaya PRU-13 akan diadakan sebelum dan bukannya selepas bajet kerana kerajaan harus pastikan mereka adalah kerajaan yang memerintah semasa pembentangan," katanya.

Beliau berkata, PRU-13 tidak akan diadakan pada Jun kerana kerajaan perlu mempertimbangkan beberapa isu yang menjejaskan imej negara walaupun berada pada momentum yang baik ketika ini.

"Kerajaan sudah melaksanakan agenda pemerintahan dengan baik, cuma ada isu Bersih yang masih belum diselesaikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment