My Add

Monday 14 May 2012

Syarikat swasta digalak wujudkan taska di tempat kerja

JOHOR BAHRU, AHAD, 13 Mei, 2012: Syarikat-syarikat swasta disaran memberi sokongan padu dan komitmen terhadap golongan wanita berkerjaya dalam organisasi mereka dengan menubuhkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, langkah itu akan dapat memberi ketenangan kepada golongan ibu yang bekerja sekali gus meningkatkan produktiviti mereka tanpa menjejaskan keutuhan institusi kekeluargaan.

Menurutnya, hasil kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati, masalah penjagaan anak adalah punca utama wanita terpaksa menamatkan kerjaya mereka lebih awal.

"Perkara itu berlaku terutama dalam kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus dan peringkat umur tersebut merupakan kemuncak kerjaya bagi seorang wanita dan pada masa yang sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.

"Penemuan dalam The 2010 Survey of Mothers in Europe pula mendapati ramai ibu yang bekerja menyuarakan rasa kesal kerana terpaksa melepaskan detik penting dalam fasa pembesaran anak-anak mereka kerana kekurangan interaksi," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Ibu peringkat kebangsaan bertemakan 'Ibu Berkerjaya Sentiasa Di Sisi' di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai.

Rosmah turut melancarkan portal Malaysian Working Mothers Forum yang menjadi platform ibu berkerjaya untuk berbincang dan berkongsi pengalaman antara kerja dan keluarga mereka selain membacakan puisi khas dan menyampaikan sebuah lagu untuk kaum ibu di negara ini.

Menurutnya, tindakan kaum ibu yang terpaksa mengetepikan impian kerjaya demi keluarga, sebenarnya merugikan negara kerana kaum wanita diakui berupaya menjalankan pelbagai tugas.

Katanya, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk menangani isu tersebut termasuk jadual anjal, kemudahan bekerja dari rumah dan pusat jagaan anak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment