My Add

Friday 18 May 2012

Tindakan ke atas Tunku Abdul Aziz bukti DAP angkuh

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: DAP bukan sahaja sebuah parti yang tidak mengamalkan sistem demokrasi, malah terbukti sombong serta angkuh apabila bertindak menghukum bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hanya kerana perbezaan pendapat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap sombong serta angkuh itulah juga yang mencorak perwatakan Lim Guan Eng apabila Setiausaha Agung DAP itu melabelkan kritikan Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih 3.0 sebagai memalukan.

Katanya, Guan Eng bukan sahaja tidak langsung menghormati pemimpin kanan seperti Tunku Abdul Aziz yang banyak berjasa kepada DAP, tetapi pada masa yang sama, setiausaha politik beliau, Zairil Johari Khir sendiri sanggup menawarkan wang tunai RM50,000.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat agar menilai sendiri di mana nilai akauntabiliti, keterbukaan serta prinsip demokrasi yang sering dilaungkan DAP dan pemimpinnya, selepas segala pendedahan dibuat sendiri oleh Tunku Abdul Aziz.

"Kita tahu DAP bukan sebuah parti yang terbuka walaupun menggunakan istilah demokratik, itulah yang terjadi pada Tunku Abdul Aziz. DAP dan Guan Eng tidak boleh menerima sebarang pandangan yang berbeza, beliau seorang pemimpin yang sombong serta angkuh.

"Saya sendiri pernah melabelkan beliau dengan gelaran itu sebelum ini tetapi selepas tokoh penting dalam DAP sendiri terpaksa menerima padah hanya kerana mengeluarkan pandangan berbeza, kini terbukti apa yang saya labelkan sebelum ini benar.

"Rakyat kini boleh menilai, siapa DAP dan Guan Eng ini? Termasuk dalam soal tawaran wang tunai sebagaimana didedahkan sendiri Tunku Abdul Aziz," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Kelmarin, Tunku Abdul Aziz menyifatkan tindakan bekas partinya untuk cuba merasuah beliau sebanyak RM50,000 beserta jawatan fello kanan di Institut Penang bagi menutup mulut berhubung isu peletakan jawatannya sebagai biadab dan menghina.

Justeru itu, beliau secara terbuka mengakui tidak mempercayai Guan Eng yang didakwanya memiliki perwatakan serta sifat yang berbeza berbanding Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, tiada tempat untuk orang Melayu berjuang demi menegakkan kepentingan bangsa dan agama melalui platform DAP kerana parti tersebut tidak pernah ikhlas memberi peluang kepada mereka selain tiada amalan demokrasi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment