My Add

Tuesday 29 May 2012

Tun Mahathir hadir sesi temu bual bersama peguam

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 Mei, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menghadiri sesi temu bual bersama peguam yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang didakwa atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia.

Dr. Mahathir tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada sebelah pagi sebelum menyertai sesi temu bual tersebut yang berlangsung selama dua jam.

Pada 9 Mac lalu, bekas Presiden MCA itu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini membela diri atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan tersebut selepas mendapati wujud kes prima facie yang perlu dijawab oleh Liong Sik, 69, pada akhir kes pendakwaan.

Pada 17 November tahun lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah ketika menutup kes pendakwaan, menyerahkan senarai 113 saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Daripada jumlah saksi tersebut, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya berhasrat memanggil seramai 12 saksi termasuk Dr. Mahathir dan dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sekiranya Liong Sik diperintahkan membela diri.

Antara saksi lain yang akan dipanggil pihak pembelaan ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Hakim Ahmadi menetapkan 18 hingga 22 Jun depan untuk bekas menteri Kabinet itu mula membela diri.

Liong Sik, 67, yang juga bekas Presiden MCA dibicarakan atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Beliau didakwa melakukan penipuan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment