My Add

Wednesday 9 May 2012

UAE lokasi utama pelabur kita

Mohd. Khuzairi Ismail
ABU DHABI, SELASA, 08 Mei, 201: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kekal menjadi lokasi tumpuan kepada pelabur dari Malaysia untuk menanam modal di rantau Asia Barat kerana persekitaran ekonominya yang kondusif.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, banyak syarikat dari Malaysia ketika ini menjadi pelabur utama di pasaran ekonomi UAE dalam pelbagai sektor pembekalan produk dan penyediaan perkhidmatan.

Antaranya, kata beliau, menerusi projek-projek bertaraf mega seperti pembinaan jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, jambatan, kawasan perumahan dan bangunan komersial serta stesen janakuasa.

“Hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE semakin kukuh dari tahun ke tahun yang mana nilai perdagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 6.4 peratus tahun lalu iaitu kepada RM23.8 bilion berbanding hanya RM21.4 bilion pada 2010.

“Malah pada tahun lalu juga, UAE menjadi rakan dagang serta destinasi eksport utama Malaysia dalam kalangan negara-negara Kerjasama Teluk dan merupakan kedua terbesar dari segi negara pengimport," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbincangan meja bulat bersama pemimpin industri di negara ini, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden 1, Dewan Perniagaan dan Industri Abu Dhabi, Khalfan Saeed Al Kaabi.

Muhyiddin berada di sini dalam rangka lawatan kerja tiga hari termasuk mengetuai delegasi perdagangan negara yang turut disertai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Terdahulu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara dua syarikat dari Malaysia iaitu Gading Kencana Sdn. Bhd. dengan LIWA Emirates Solar Energy serta MBM Dagang Sdn. Bhd. dengan LIWA Chemicals for Petroleum and Industrial Supply EST.

Ia adalah kerjasama dalam bidang industri penyediaan tenaga membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM70 bilion bagi tempoh dua tahun dan dalam bidang autopsi digital untuk forensik bernilai RM31.5 bilion bagi tempoh lima tahun.

Menurut Muhyiddin, Malaysia pada masa sama sedang berada dalam fasa transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 yang menyaksikan persekitaran pelaburan negara ketika ini semakin berkembang.

Sebagai bukti, kata beliau, salah satu laporan Bank Dunia 2012 meletakkan Malaysia di tangga ke-18 negara yang mesra perniagaan iaitu meningkat lima anak tangga dari tahun sebelumnya dan lebih baik dari Jerman, Jepun, Taiwan, Switzerland, Belgium dan Perancis.

Justeru, beliau mengajak pemimpin industri di sini merebut peluang pelaburan di Malaysia dengan jaminan kerajaan akan menjadi ‘rakan perdagangan’ untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.

“Agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menyediakan segala bantuan dan kemudahan yang diperlukan untuk perniagaan anda.

“Bagi yang sudah melabur di Malaysia pula, saya memberi jaminan persekitaran perniagaan kami akan kekal kondusif bagi membolehkan anda terus mengembangkan operasi perniagaan di negara kami," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment