My Add

Wednesday 13 June 2012

2 bayi perempuan ditemui ditinggalkan

SUBANG JAYA, RABU, 13 Jun, 2012: Dua bayi perempuan ditemui masih hidup di dua lokasi berasingan di Taman Saujana, Puchong dan USJ 12, Subang Jaya selepas dipercayai ditinggalkan dalam tempoh lebih 24 jam. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli, berkata bayi pertama ditemui seorang peniaga nasi lemak jam 7.15 pagi tadi berhampiran gerainya di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 12, di sini.

"Bayi itu dibalut sehelai kain berjalur warna kelabu dan ungu masih bertali pusat yang sudah kering manakala seluruh badannya mempunyai kesan gigitan nyamuk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yahaya berkata, berdasarkan maklumat pihak hospital, bayi yang berkulit cerah dan berhidung mancung itu dilahirkan kira-kira tiga hari lalu dengan berat 2.35kg namun bangsa bayi itu masih tidak dapat dipastikan. 

Sementara itu, seorang lagi bayi perempuan ditemui berdekatan tempat membuang sampah berhampiran kawasan perumahan Taman Saujana, Puchong oleh orang awam pukul 4.20 petang semalam. 

Katanya, bayi itu yang dilahirkan dalam keadaan cukup sifat dijumpai selepas seorang lelaki yang melalui kawasan tersebut mendengar bunyi seperti kucing. 

"Bayi ditemui dalam bungkusan kain berwarna hitam dengan kesan tompokan merah akibat digigit semut," katanya. 
Yahaya berkata, tali pusat bayi itu sudah dipotong dan hanya tinggal sedikit pada badannya. 

"Berdasarkan maklumat hospital, bayi itu dipercayai berbangsa Melayu yang lahir dalam tempoh 24 jam dan kini berada di Hospital Kajang untuk rawatan," katanya. 

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment