My Add

Sunday 3 June 2012

Amal sifat tanggungjawab bantu golongan yang memerlukan

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta anggota masyarakat agar menyemai sifat tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik. 

Beliau berkata, sifat itu harus menjadi amalan dan budaya agar Malaysia terus kekal menjadi negara yang aman, makmur dan selesa dengan rakyatnya yang hidup dalam keadaan sejahtera dan saling bantu-membantu.

"Walaupun kita berada dalam sebuah negara yang amat maju dan berjaya dalam pelbagai bidang tetapi kita juga sedar di kalangan kita ada juga kumpulan-kumpulan yang memerlukan bantuan dan sumbangan sama ada untuk menyelamatkan nyawa ataupun membantu meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan program amal Tan Sri Muhyiddin Charity Golf bagi kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, derma organ dan sel tunjang di sini. 

Muhyiddin yang juga pengasas Tan Sri Muhyiddin Charity Golf berkata, amalan seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh badan-badan korporat mula tersebar luas di negara ini dan mendapat sokongan daripada kalangan masyarakat. 

"Ini bermakna bahawa di Malaysia ini walaupun kita berada dalam keadaan yang agak baik, tetapi kita tidak kurangkan tanggungjawab kita terhadap anggota dalam masyarakat yang perlukan bantuan, sebab itu inisiatif sebegini amat saya alu-alukan. 

"Lebih-lebih lagi usaha kita untuk membantu supaya tabung darah negara tidak menghadapi krisis ataupun masalah dari segi mendapatkan sumbangan darah yang kita sedar merupakan perkara penting yang diperlukan dalam banyak keadaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment