My Add

Friday, 22 June 2012

Ambil amah menerusi agen berdaftar untuk elak kerugian

KUANTAN, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Majikan dinasihatkan mengambil pembantu rumah asing (PRA) menerusi agen berdaftar bagi mengelak menanggung kerugian sekiranya pembantu rumah berkenaan melarikan diri semasa berkhidmat. 

Nasihat diberikan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pahang (Bahagian Pekerja Asing), Sayed Abdul Rahman Sayed Mahmud ketika mengulas kejadian baru-baru ini yang mana dua PRA lari mengakibatkan majikan mereka kerugian hampir RM20,000.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia ada garis panduan untuk agen sah mengenai pengambilan pembantu rumah asing khususnya dari Indonesia kerana pengambilan cara demikian dilindungi oleh peraturan yang ditetapkan oleh jabatan itu.
"Jika pembantu rumah yang dibekalkan oleh agensi berdaftar itu lari, kita boleh ambil tindakan dengan menyenarai hitam agensi berkenaan, manakala PRA yang lari itu berdepan tindakan yang sama," katanya kepada pemberita di pejabat Biro Pengaduan Awam, Wisma MCA Kuantan di sini, hari ini. 

Sayed Abdul Rahman berkata, pekerja asing terbabit tidak boleh lagi bekerja di negara ini, selain mereka yang dibekalkan oleh agen yang sah pula berkemahiran, dilatih di negara asal dan dijamin sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum bekerja di sini. 

Sayed Abdul Rahman mengulas aduan seorang kontraktor kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong, yang kerugian apabila dua orang pembantu rumah warga Indonesia melarikan diri selepas berkhidmat tidak sampai lima bulan. 

Beliau berkata, kes PRA lari ini sangat kecil berlaku di negeri ini dan beliau tidak menolak kemungkinan situasi tersebut kerana majikan terbabit tidak membuat aduan kepada Jabatan Imigresen atau atas sebab-sebab lain.

Menurut beliau, terdapat sembilan agensi pembantu rumah yang berdaftar di negeri Pahang termasuk Supermaid Employment Sdn Bhd, Megawi Sdn Bhd dan KAC Evergreen Sdn Bhd. 

Sayed Abdul Rahman berkata, selain Indonesia, majikan juga boleh memilih mengambil PRA dari enam negara lain iaitu Thailand, Filipina, Sri Lanka, India, Vietnam dan Laos. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment