My Add

Monday 11 June 2012

Anggota SPAD di LTAPP, Terminal Bas Sungai Nibong

GEORGETOWN, ISNIN, 11 Jun, 2012: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menempatkan anggota penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Terminal Bas Sungai Nibong di sini bagi mengekang aktiviti kereta sapu di kawasan itu. 

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata anggotanya akan ditempatkan secepat mungkin kerana kereta sapu menjejaskan pendapatan pemandu limosin dan kereta sewa di situ.

"Kita memandang serius kegiatan (teksi sapu) yang menjadi rungutan pemandu limosin dan kereta sewa di dua kawasan berkenaan sejak sekian lama.

"Kita mengambil beberapa pendekatan bagi mengekang aktiviti mereka dan terbaru SPAD akan menempatkan anggota penguat kuasa secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas operasi Parasit-Ulat Tiket dan Kereta Sapu di LTAPP, di sini, hari ini. 

Katanya, berdasarkan pemantauan yang dilakukan pihaknya mendapati lebih 60 hingga 70 kenderaan sapu beroperasi secara haram di LTAPP sejak beberapa tahun lalu. 

Che Hasni berkata, pengguna juga harus sedar bahawa tindakan mereka menggunakan perkhidmatan kenderaan sapu berbahaya kerana ia tidak dilindungi insurans seperti kereta-kereta sewa yang berdaftar dengan SPAD. 

Sementara itu dalam operasi hari ini, beliau berkata, SPAD mengambil tindakan terhadap dua buah van yang dipercayai beroperasi sebagai kenderaan sapu. 
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM100,000. 

Baru-baru ini, Koperasi Pemandu Limo Lapangan Terbang Pulau Pinang Berhad (KOPLIMO) menggesa SPAD mengambil tindakan tegas terhadap teksi sapu yang semakin aktif di kawasan itu dan mengakibatkan 300 pemandu limosin di lapangan terbang itu kerugian kira-kira RM10,000 sehari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment