My Add

Monday 11 June 2012

Kerajaan Kedah gagal usir 141 penghuni flat Seri Gemilang

ALOR SETAR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Seramai 141 penghuni rumah pangsa Seri Gemilang, Kampung Batin di sini, yang diarah mengosongkan kediaman itu oleh kerajaan Kedah, berjaya mendapatkan perintah injunksi interim yang menghalang mereka daripada diusir. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar, See Mee Chun mengeluarkan perintah itu selepas mendengar permohonan peguam yang mewakili mereka, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, di dalam kamar, semalam.

Muhammad Nizamuddin menyerahkan perintah itu kepada wakil Setiausaha Kerajaan Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini untuk dikuatkuasakan.

Seramai 141 penghuni rumah pangsa itu menerima notis mengosongkan rumah yang ditampal pada pintu rumah mereka pada 29 April lalu atas alasan melanggar syarat atau gagal menjelaskan bayaran. Mereka diarah mengosongkan rumah pada 28 Mei lalu. 

Peguam itu yang ditemui di Wisma Darul Aman sebelum menyerahkan perintah berkenaan berkata, 18 penduduk mewakili penghuni lain, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi dan menamakan kerajaan Kedah sebagai responden. 

"Dalam kes ini, kerajaan Kedah tidak mematuhi prosedur pengeluaran notis pengusiran selain ditampal dipintu. Notis seharusnya dikeluarkan selepas mahkamah mengeluarkan perintah. 

Pesuruhjaya Kehakiman melihat kes ini ada kepentingan umum dan kerana itu beliau mengeluarkan perintah larangan pengusiran itu," kata Muhammad Nizamuddin.

Menurutnya, ada di antara penerima notis itu menduduki rumah pangsa berkenaan sejak 2006 tetapi tidak menandatangani perjanjian jual-beli dengan kerajaan negeri kecuali dua orang menandatanganinya baru-baru ini. 

Pembeli rumah pangsa itu dikehendaki membayar RM70 sebulan untuk tempoh 45 tahun enam bulan. Sembilan blok rumah pangsa berkenaan mengandungi 720 unit rumah, dibina untuk penduduk yang tinggal di tanah kerajaan yang diambil balik. 

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 28 Jun ini bagi semakan kehakiman jika terdapat bantahan pihak responden. 

Sementara itu, pengerusi Rukun Tetangga Rumah Pangsa Seri Gemilang, Tengku Kamal Tengku Ahmad yang turut hadir berkata, antara penghuni yang menerima notis itu ialah ibu tunggal, orang kurang upaya dan nelayan. 

"Walaupun sewa cuma RM70 sebulan, kebanyakan penghuni berpendapatan kecil. Kami berusaha berunding dan meminta kerajaan negeri menjelaskan syarat-syarat yang ditetapkan, tetapi tidak mendapat perhatian," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment