My Add

Tuesday 26 June 2012

Anwar: 'Mari berdebat, beri rakyat hadiah'

NURUL AINI MOHAMED ALI
KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun, 2012; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak menyahut cabarannya untuk berdebat walaupun telah dipelawa beberapa kali sejak lebih setahun lalu.

"Mahu debat atau tidak?" soal Anwar ketika ditemui selepas majlis Pelancaran dan Diskusi Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.

Beliau sekali lagi mencabar Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), agar mengadakan debat secara umum sebagai hadiah Perdana Menteri kepada rakyat.

"Jika benar debat bukan budaya kita, mengapa diterapkan budaya debat dan pertandingan debat di sekolah," ujar beliau dengan sinis.

Laporan media Jumaat lalu memetik Najib berkata, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.

"Kita tengok keadaan. Kalau perlu debat antara pemimpin, perlulah ada debat. Tapi ia bukan budaya politik secara menyeluruh dalam sistem kita.

"Yang penting sekali rakyat ada maklumat secukupnya (dalam) membuat pilihan," katanya dipetik Sinar Harian.

Najib seterusnya dilaporkan berkata, "kita beri peluang parti-parti politik untuk menyiarkan manifesto masing-masing bila sampai pada masanya."

Najib juga berkata, rakyat ada maklumat secukupnya untuk membuat keputusan.

"Saya tak kata apa. Saya kata itu bukan... yang penting sekarang ini rakyat ada maklumat secukupnya untuk membuat keputusan sama ada agenda kita lebih baik atau pembangkang," kata beliau menjawab soalan mengenai pelawaan Anwar agar beliau berdebat dengannya.

Pelawaan itu muncul semula selepas siri debat membabitkan pemimpin-pemimpin politik sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub membicarakan isu demonstrasi dan demokrasi dalam Debat Sinar minggu lalu.

Bulan lalu, Debat Sinar menemukan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkenaan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam ulasannya, Anwar menambah bahawa budaya debat sudah lama menjadi satu fenomena yang tidak asing lagi di sekolah dan jika benar ia bukan budaya, "mengapa perlu diteruskan?"

"Anak-anak kita diajar berdebat di sekolah, terapkan budaya ini sejak di bangku sekolah lagi, jadi mengapa berkata ia bukan budaya kita?" tambah Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) ini.

Tambah Anwar, rakyat kini semakin bijak bagi menilai dan menangani isu-isu umun seperti ini.

Justeru, katanya, kebebasan bersuara harus diberikan kepada rakyat kerana ianya merupakan hak rakyat.

Sanbil itu, Anwar mendakwa Kerajaan Pusat mahu mengaburi mata rakyat dengan hanya membenarkan manifesto parti politik ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disiarkan secara rakaman.

Katanya, langkah julung kali diperkenalkan itu jelas menunjukkan politik kotor yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat dan tidak menghormati hak dan kehendak rakyat.

"Jika benar ingin beri kebebasan manifesto, mengapa mahu dibuat secara rakaman?" kata beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran dan Diskusi Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat di sini, malam tadi.

Tambah beliau, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menggunakan medium media untuk mempergunakan orang Melayu dengan cara sedemikian.

"Kebebasan dalam bersuara dan menyampaikan manifesto mesti boleh dibuat secara langsung, bukan melalui rakaman. Ini jelas permainan mereka bagi mengaburi mata rakyat," ulas beliau.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, PR menolak kaedah rakamandalam menyiarkan manifesto parti-parti politik ketika PRU13 sebagaimana diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Jumaat lalu.

Mustafa berkata, kenyataan yang dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak menepati tuntutan Bersih 3.0.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut dilakukan, manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pakatan Rakyat tidak boleh terima keadaan tersebut kerana ia melibatkan sumber rakaman yang akan ditokok tambah dan sumbernya tidak tepat kerana boleh dimanipulasi sesiapa sahaja," kata beliau.

Dalam reaksi balas kepada Sinar Harian Online, Abdul Aziz merayu parti-parti politik memberi kerjasama dengan tidak mempertikaikan mekanisme yang hendak digunakan untuk menyiarkan manifesto menerusi RTM.

Sehubungan itu, badan pengendali pilihan raya mahu PR mencuba terlebih dahulu kaedah rakaman dan memberi peluang untuk melaksanakannya sebelum sangsi dan menolak bulat-bulat.

Abdul Aziz juga berkata, usaha pihaknya mendapatkan ruang bagi menyiarkan manifesto untuk semua parti harus diteruskan sebelum membuat andaian negatif.

Menurut Abdul Aziz, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ruang bagi kesemua parti menyiarkan manifesto mereka melalui beberapa televisyen kerajaan dan ia dilihat sebagai satu langkah yang baik.

No comments:

Post a Comment