My Add

Friday 1 June 2012

Azmin Ali tekad 'teruskan perjuangan'

SHAH ALAM, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bertekad untuk meneruskan perjuangan walaupun "harga yang perlu dibayar mahal dan berisiko tinggi" - dilihat menjawab isu terbaru yang berkaitan dengan kes rasuah 17 tahun lalu yang didedahkan Selasa lalu.

Membalas mesej beberapa pengikutnya berhubung perkembangan semasa, Azmin mendakwa UMNO amat terdesak tetapi yakin kebenaran akan tetap ditegakkan.

"Kita bertekad untuk lawan perasuah dan kezaliman UMNO," kata beliau dalam satu mesej Twitternya lewat semalam.

Dalam satu lagi mesej Twitternya, beliau menulis bahawa, "kita bertekad untuk lawan perasuah dan kezaliman Umno."

Beliau juga berkata, Umno seolah-olah amat terdesak dan "yakin kebenaran akan tetap ditegakkan."

Beliau yang kelmarin mendakwa laporan terbaru Malaysia Today sebagai tidak berassas dan ada niat jahat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menambah, partinya akan memberi tumpuan pada soal dasar dan isu kepedulian rakyat seperti pendidikan, ekonomi dan keselamatan.

"Rakyat matang menilai. Rujuk buku Datuk Shafee Yahaya, bekas Ketua Pengarah BPR. Semua fitnah ini terjawab," katanya lagi.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Antarabangsa melahirkan pandangan ini kira-kira 10 jam selepas kenyataan Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan siasatan dijalankan terhadapnya, melibatkan kes antara 1995 dan 1997.

Ketika itu Azmin merupakan Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi IPO SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, panel mengarahkan SPRM menyambung siasatan berdasarkan kertas laporan siasatan yang dibuka pada 2009.

"Kertas siasatan itu disambung semula berdasarkan maklumat tambahan yang terbaru dan ia disiasat untuk memastikan kebenaran dakwaan itu," katanya.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dalam siasatan itu termasuk Anwar yang kini merupakan Ketua Pembangkang, akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, cabaran utama untuk menyiasat kes berkenaan adalah mencari bukti kukuh kerana kes berlaku pada 1995 dan telah agak lama.

Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mendakwa mendapat maklumat mengenai salah guna kuasa oleh Anwar untuk menghalang siasatan terhadap Azmin daripada seorang bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang menyerahkan dokumen sulit bertarikh 15 Mei 1995 itu di London bulan lalu.

Dalam portalnya, Raja Petra mendakwa berdasarkan dokumen mengikut Akta Rahsia Rasmi, BPR mempunyai bukti jelas Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek.

Hadenan berkata, siasatan terhadap Azmin akan mengambil masa lama selain cabaran menentukan apakah seksyen yang bersesuaian untuk disiasat pada masa kini kerana terdapat perbezaan peruntukan undang-undang.

"Pada ketika ini adalah salah bagi penjawat awam yang memiliki aset melebihi pendapatan dan diragui punca hasilnya mengikut Seksyen 36 Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kes itu berlaku pada 1995 dan pada ketika itu undang-undang terpakai adalah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang tidak mempunyai peruntukan undang-undang sekarang.

Beliau berkata mengikut undang-undang 1961, kesalahan seperti itu hanya memperuntukkan tindakan tatatertib oleh jabatan.

Hadenan berkata bagaimanapun panel penilaian mendapati adalah wajar satu siasatan dijalankan bagi memastikan kebenaran dalam dakwaan itu.

Katanya, SPRM juga akan memanggil bekas Ketua Pengarah SPRM pada ketika itu, Shafee Yahaya manakala pegawai penyiasat kes tersebut telah meninggal dunia. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment