Hadenan Abdul Jalil |
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan siasatan terhadap Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang didakwa memiliki aset dan harta melebihi pendapatan penjawat awam antara 1995 dan 1997 dijalankan semula.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, ini kerana terdapat maklumat tambahan yang baru diperolehi untuk menyambung siasatan yang dibuka pada 2009.
“Kertas siasatan itu disambung semula berdasarkan maklumat tambahan yang terbaru dan ia disiasat untuk memastikan kebenaran dakwaan itu,” katanya dipetik Sinar Harian.
Azmin adalah Setiausaha Sulit kepada Timbalan PerdanaMenteri pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadenan berkata, Anwar juga akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi
membantu siasatan.
Menurutnya, kemungkinan turut disiasat ialah laporan yang mendakwa Anwar mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhenti menyiasat Azmin pada masa itu.
Hadenan bagaimanapun mengakui cabaran getir bagi SPRM untuk menyiasat kesberkenaan ialah mencari bukti kukuh kerana kes itu sudah agak lama iaitu pada 1995.
Baru-baru ini, pengendali portal MalaysiaToday, Raja Petra Kamaruddin mendakwa mendapat maklumat mengenai salah guna kuasa oleh Anwar untuk menghalang siasatan terhadap Azmin daripada seorang bekas pegawai kanan BPR yang menyerahkan dokumen sulit bertarikh 15 Mei 1995 di London bulan lalu.
Dalam portalnya, Raja Petra mendakwa berdasarkan dokumen mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), BPR mempunyai bukti Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kirakira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek.
Hadenan berkata, siasatan terhadap Azmin akan mengambil masa lama selain cabaran menentukan seksyen yang bersesuaian untuk disiasat pada masa kini kerana terdapat perbezaan peruntukan undang-undang.
“Pada ketika ini, adalah salah bagi penjawat awam yang memiliki aset melebihi pendapatan dan diragui punca hasilnya mengikut Seksyen 36 Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.
Bagaimanapun katanya oleh kerana kes itu berlaku pada 1995 dan pada ketika itu undang-undang terpakai adalah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang tidak mempunyai peruntukan undangundang sekarang.
Mengikut undang-undang 1961, kesalahan seperti itu hanya memperuntukkan tindakan tata tertib oleh jabatan.
Hadenan berkata, panel penilaian bagaimanapun mendapati adalah wajar siasatan dijalankan bagi memastikan kebenaran dalam dakwaan itu.
SPRM juga katanya akan memanggil bekas Ketua Pengarah BPR pada ketika itu, Datuk Shafee Yahaya untuk membantu siasatan. Difahamkan, pegawai penyiasat BPR bagi kes itu sudah pun meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment