My Add

Friday 8 June 2012

Beli barangan tempatan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini meminta rakyat menggunakan kenaikan pendapatan masing-masing untuk membeli barangan buatan Malaysia yang sekali gus dapat membantu negara membina daya tahan ekonomi terhadap sebarang krisis kewangan. 

Sehubungan itu, beliau berharap program beli barangan Malaysia dapat mengubah pemikiran rakyat untuk lebih mengutamakan barangan tempatan bagi memberikan kesan berganda kepada ekonomi negara.

"Kempen ini memberi impak positif kepada imbangan bayaran negara kesan pengurangan kebergantungan kepada produk import," katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Belilah Barangan Buatan Malaysia 2012 di sini hari ini.

Katanya, hasil kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati bahawa purata gaji di sektor swasta meningkat 4.0 peratus pada tahun lalu dan pendapatan di kawasan luar bandar juga meningkat dengan signifikan. 

Selain itu, dalam usaha untuk bersaing dengan syarikat gergasi dunia, Muhyiddin berkata komuniti perniagaan di Malaysia perlu mencontohi syarikat multinasional di negara ini, terutamanya dalam aspek promosi, pengiklanan serta penyelidikan dan pembangunan untuk mengetengahkan jenama Malaysia agar ia lebih dikenali di persada antarabangsa. 

"Melalui pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan, pihak pengusaha perlu mengambil peluang tersebut untuk menambah baik dan mempertingkatkan lagi aspek kualiti penjenamaan, pembungkusan, promosi dan pengiklanan supaya setaraf dengan piawaian antarabangsa dan menjadi pilihan utama," katanya. 

Dalam hubungan ini, Muhyiddin juga meminta syarikat pengeluar produk tempatan untuk mengembangkan pemasaran produk ke pasaran serantau dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik semata-mata. 

Katanya, beliau ingin melihat syarikat tempatan lebih inovatif serta menggunakan teknologi terkini dengan melaksanakan amalan perniagaan terbaik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment