My Add

Friday 8 June 2012

PM peruntukan RM200,000 kepada Masjid Al-Taufiq


*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar permasalahan Imam Masjid Al-Taufiq, Ustaz Ismail Abdul Hamid sempena Program Jelajah Janji Ditepati di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, hari ini. - BERNAMA

KULIM, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Razak mengambil kesempatan daripada lawatan beliau ke Kulim hari ini dengan mengunjungi Masjid Al-Taufiq di Kampung Air Merah di sini. 

Kunjungan Perdana Menteri ke masjid itu adalah bagi menunaikan hasrat penduduk sekitar Kampung Air Merah untuk bertemu dengan beliau.

Pada kunjungan kira-kira 3.30 petang itu, Najib mengumumkan peruntukan RM200,00 untuk membina sebuah bangunan baru Kelas Fardu Ain (KAFA) di masjid itu.

Kunjungan kira-kira 10 minit Perdana Menteri dan rombongannya disambut di perkarangan masjid itu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kariah yang juga Imam masjid, Ismail Hamid bersama lebih 5,000 penduduk sekitar. 

Menurut perancangan awal, Najib dijadual singgah dan menunai solat Jumaat di situ sebelum hadir di majlis "Jelajah Janji Ditepati" di Kulim Hi-Tech Park di sini petang ini. 

Namun atas sebab-sebab tertentu majlis itu terpaksa dibatalkan dan untuk tidak menghampakan penduduk dan anak kariah di Air Merah, Najib tetap menunaikan janjinya hadir walaupun kira-kira 10 minit bersalaman dengan mereka yang menunggu sejak 1.00 tengah hari. 

Terdahulu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, mewakili Perdana Menteri dalam kunjungan ke masjid itu dan menunai solat di situ. 

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohammad Ali Rustam, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir serta pemimpin UMNO Kedah. 

Sementara itu, Ismail bagi pihak ahli jawatakuasa masjid mengucapkan terima kasih kepada Najib atas peruntukan yang tidak disangka itu, diumumkan Perdana Menteri. 

“Dengan bantuan tersebut kami berharap akan dapat membina sebuah bangunan baru yang boleh menempatkan empat bilik darjah demi kemudahan anak-anak yang belajar di sini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment