My Add

Saturday 23 June 2012

Bersih 3.0: Wisma Putra panggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra hari ini berhubung penglibatan tiga diplomat dari Suruhanjaya Tinggi itu dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau telah memanggil Ong ke pejabatnya petang ini untuk menyampaikan rasa tidak senang kerajaan Malaysia berhubung penyertaan ketiga-tiga diplomat itu dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata kementerian telah menerima laporan-laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang menjelaskan tentang penglibatan ketiga-tiga diplomat Singapura berkenaan.

"Sebagai Menteri Luar Negeri, saya amat memandang serius perkara ini," katanya.

Dalam pertemuannya dengan Ong itu, Anifah berkata beliau menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia mengenai penyertaan secara langsung oleh diplomat dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 sebagai satu langkah yang sama sekali tidak wajar.

"Langkah yang tidak wajar ini sememangnya telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura walaupun pada hakikatnya hubungan antara dua negara jiran ini dan rakan baik ASEAN kini kian berkembang," katanya.

Dalam pertemuannya dengan Ketua-Ketua Perwakilan ASEAN di ibu negara pada 11 Jun lepas, beliau membangkitkan isu penglibatan diplomat asing dalam perhimpunan Bersih 3.0 dimana penglibatan sedemikian dilihat sebagai aktiviti di luar batasan yang boleh memberi persepsi negatif kepada hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara-negara mereka.

Anifah berkata beliau turut menegaskan kepada Ong bahawa Kementerian Luar tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap diplomat yang didapati telah melanggar batasan norma-norma diplomasi yang terpakai mengikut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 dan undang-undang negara.

Anifah berkata beliau juga telah berhubung dengan rakan sejawatannya K.Shanmugan bagi memaklumkan mengenai pertemuan dengan Ong itu.

"Semasa perbualan telefon yang positif tersebut, Menteri Luar Negeri Singapura dan saya bersetuju untuk terus menggerakkan usaha-usaha konstruktif bagi mempererat lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment