SINTOK, SABTU, 09 Jun, 2012: Kerajaan perlu berhati-hati dalam meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk kali kedua kerana ada pihak tertentu sudah menyalahtafsirkan dan memutarbelitkan pemberian bantuan itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata beliau bersetuju jika bantuan itu diteruskan untuk kali kedua, namun kerajaan perlu berhati-hati supaya pemberian itu tidak disalahertikan.
"Pandangan saya, saya rasa kalau ada keperluan (dengan memberi BR1M kali kedua) kita cuba usaha untuk memenuhi keperluan itu tetapi kita perlu berhati-hati kerana niat yang baik itu mudah disalah erti dan sudah tentu akan ada pihak lain yang akan menuduh macam-macam kononnya ini digunakan sebagai umpan untuk pilihan raya.
"Kita cuma melaksanakan saja. Niat itu tidak langsung mempunyai sebarang niat selain daripada meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Ekonomi Jerlun di di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata pemberian BR1M itu bukanlah satu pembaziran kerana setiap orang yang menerima wang itu akan menggunakannya untuk membeli keperluan harian.
"Setiap kali mereka berbelanja, peniaga meraih keuntungan dan peniaga itu akan membayar cukai kepada kerajaan dan ia langsung tidak merugikan kerajaan kerana kitaran belanja itu akan dikenakan cukai jualan dan cukai pendapatan.
"Jadi duit itu akhirnya dikembalikan kepada kerajaan dan tujuannya adalah untuk merangsang ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata, di kawasannya iaitu Parlimen Jerlun, lebih 250,000 isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sudah menerima BR1M dan itu menunjukkan dengan pendapatan sebanyak itu, agak sukar untuk menyara hidup. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment