My Add

Saturday 9 June 2012

Sindiket pengenalan palsu tumpas bukti kesungguhan kerajaan

KOTA KINABALU, SABTU, 09 Jun, 2012: Penahanan 19 orang dipercayai anggota sindiket memperdaya pendatang asing untuk mendapatkan kad pengenalan palsu di Tawau jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu tersebut, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said. 

Beliau berkata, tindakan polis daerah Tawau itu wajar dalam memastikan keselamatan rakyat di negeri ini terus dijaga.

“Tindakan selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 1 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan negeri, diminta mengulas kejayaan polis Tawau memberkas 19 orang, termasuk seorang petugas Jabatan Pendaftaran Negara dari Putrajaya, dalam siri tangkapan sejak 25 Mei lalu. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Henrynus Amin, menggesa polis membuat siasatan terperinci mengenai kegiatan sindiket mengeluarkan kad pengenalan palsu itu. 

"Penahanan beberapa orang itu (di Tawau) adalah sebahagian kecil sahaja daripada masalah yang besar. Polis perlu membuat siasatan lebih mendalam,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment