My Add

Sunday 10 June 2012

DAP politikkan isu PPSB untuk raih sokongan: Soi Lek

NIBONG TEBAL, SABTU, 09 Jun, 2012: Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, membidas kenyataan beberapa pemimpin DAP yang didakwanya mempolitikkan isu penswastaan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan status pelabuhan bebas cukai di negeri ini untuk meraih sokongan rakyat. 

Chua yang juga Presiden MCA berkata, kedua-dua isu tersebut adalah dua perkara berbeza walaupun pada hakikatnya ia bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang untuk kesejahteraan rakyat.

"Saya kecewa dengan kenyataan pemimpin DAP yang mempolitikkan isu status pelabuhan bebas cukai dan penswastaan PPSB untuk kepentingan politik mereka, sebenarnya kedua-dua perkara itu adalah berbeza.

"Dengan adanya pelabuhan bebas cukai ia memberi keistimewaan kepada penduduk dan akan menjadi tarikan pelancong, ia sangat bagus untuk pertumbuhan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pelancongan, manakala penswastaan PPSB pula akan meningkatkan keupayaan operasi Pelabuhan Pulau Pinang serta penjanaan ekonomi yang lebih kukuh," katanya. 

Beliau berkata, demikian kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan pemimpin DAP yang mempertikaikan tindakan penswastaan PPSB oleh Kerajaan Pusat sebagai satu konspirasi menyekat kemajuan ekonomi Pulau Pinang. 

Pemimpin DAP dilaporkan berkata terdapat rancangan "jahat" dan konspirasi oleh Chua yang dilahirkan di Johor bagi mengekang ekonomi di Pulau Pinang untuk memberi manfaat kepada negeri kelahirannya dan menurunkan pangkat Pelabuhan Pulau Pinang. 

Chua berkata, keputusan penswastaan PPSB terletak di bawah kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan ia sudah dibincangkan sejak beberapa tahun lepas yang bertujuan meningkatkan kecekapan pelabuhan itu. 

"Perdana Menteri melihat kesan keseluruhan negeri ini dan rakyatnya sebelum membuat sesuatu keputusan berhubung penswastaan PPSB, dalam hal ini kerajaan sentiasa mengutamakan faedah untuk rakyat," katanya. 

Beliau berkata, usaha kerajaan dalam isu ini bertujuan membangunkan Pulau Pinang serta mengembalikan kegemilangan pelabuhan negeri ini yang secara langsung akan memberi faedah untuk dinikmati bersama oleh rakyat.

Difahamkan bahawa jumlah kargo di Pelabuhan Pulau Pinang gagal untuk mencapai tahap Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas, berkembang hanya 5.8 peratus antara tahun 1995 dan 2009, berbanding Pelabuhan Klang yang berkembang 14.2 peratus setiap tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment