My Add

Sunday 10 June 2012

Muhyiddin gesa Anwar jelas dakwaan milik aset RM3 bilion

Muhyiddin mahu Anwar jelas isu 20 akaun induk
MUAR, SABTU, 09 Jun, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan segera dakwaan berhubung pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, 13 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan berkenaan bukan perkara kecil dan dengan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada rakyat.

"Angka (RM3 bilion) yang disebut adalah besar. Jadi, ia adalah tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk memperjelaskannya. Apakah benar atau tidak. Rakyat hendak tahu...pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat tuntutan supaya penjelasan dibuat pun mewakili kumpulan rakyat yang bukan sedikit.

"Kalau tidak betul, Anwar harus mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan termasuk bekas Penolong Gabenor Bank Negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Kasihi Pekebun peringkat negeri di Dataran Sarang Buaya, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kewibawaan dan integriti Anwar akan terjejas sekiranya Ketua Pembangkang berkenaan tidak menjelaskan dakwaan itu.

Selasa lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA,) Datuk Ibrahim Ali, dilaporkan media menimbulkan persoalan mengenai status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pendedahan Abdul Murad hampir 13 tahun lalu.

Ibrahim dilaporkan berkata dalam pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara yang dibuat menerusi akuan berkanun itu antara lain mendakwa, Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion, yang diperoleh ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada akhir 1990-an.

Akhbar hari ini pula melaporkan beberapa NGO turut menggesa SPRM supaya menyegerakan siasatan mengenai dakwaan berkenaan memandangkan ia adalah perkara berkepentingan awam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment