My Add

Sunday 3 June 2012

Debat Guan Eng - Soi Lek satu lagi politik kepura-puraan

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Jun, 2012: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan mengadakan satu lagi perdebatan pada 8 Julai bagi meyakinkan pendengar mengenai dasar-dasar parti mana yang lebih baik kepada komuniti. 

Walaupun debat itu menyediakan satu lagi platform bagi kedua-dua pemimpin untuk sampai kepada audiens dan menyampaikan mesej mereka, sesetengah ahli politik dan penganalisis mempunyai pendapat berbeza sama ada debat itu akan membawa kesan yang diharapkan atau hanya semata-mata satu lagi politik kepura-puraan.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Jeff Ooi, berkata penganjur debat Lim-Chua, Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), seharusnya mengadakan topik perbahasan yang lebih baik, seperti "wujudkah masa depan bagi parti politik berasaskan kaum" yang menurutnya lebih relevan daripada memfokuskan kepada kedua-dua parti itu.

"Saya tidak akan ambil peduli untuk melihatnya, malah jika ia disiarkan secara lansgung di televisyen pun. Ia telah pun dilakukan. Lim Guan Eng akan bercakap mengenai model Pulau Pinang untuk Putrajaya dan Dr Chua Soi Lek tidak akan sudah-sudah bercakap mengenai proses Islamisasi Malaysia dan bagaimana DAP membantu PAS. Oleh itu, saya salahkan ASLI kerana memilih topik yang tidak kena, " katanya ketika dihubungi. 

Beliau berkata penganjur perlu "membawa debat ini ke peringkat seterusnya" dengan menyentuh mengenai sistem dua parti daripada hanya memfokuskan mengenai MCA-DAP, memandangkan masa depan politik di negara ini bukan ditentukan oleh mereka. 

Debat pertama antara kedua-dua pemimpin politik itu diadakan pada 18 Februari dalam Bahasa Mandarin bagi berbahas mengenai topik "Apakah sistem dua parti akan menjadi sistem dua bangsa?". Ia disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro AEC dan diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia menerusi Astro Awani. 

Sementara debat pertama dinobatkan sebagai satu kejayaan oleh kedua-dua pihak, sesetengah pemerhati berpendapat ia cuma membazirkan masa dengan mendakwa perbahasan itu beralih daripada topik asal dengan kedua-dua penceramah menggunakan platform itu bagi mengulangi apa yang telah mereka nyatakan sebelum ini. 

Bagaimanapun, untuk debat akan datang, Ketua Pegawai Eksekutif ASLI Tan Sri Dr Micheal Yeoh dilaporkan menggesa kedua-dua pemimpin supaya mempromosikan agenda yang menjangkau kedua-dua parti dan berurusan dengan isu-isu sebenar dan dasar-dasar. 

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian percaya debat kedua akan menjadi satu lagi peluang bagi ahli-ahli politik daripada pakatan pembangkang untuk sampai kepada rakyat Malaysia dengan lebih luas melalui media arus perdana kerana mereka jarang sekali mempunyai peluang sedemikian. 

"Bagi Dr Chua, ia adalah satu peluang kepada beliau untuk menunjukkan bahawa MCA telah melakukan banyak usaha dan membuktikan parti itu masih relevan. DAP pula berkata mereka mahu menjadi satu alternatif walaupun persoalan masih kekal sama ada mereka mahu menjadi alternatif kepada MCA atau terus sampai kepada penduduk yang lebih luas," katanya. 

"Tapi, pada akhirnya, objektif perdebatan ialah bagi meningkatkan sokongan kepada mereka. Ia bukan mengenai siapa menang atau kalah tetapi lebih sebagai satu ujian mengenai sama ada mereka sudah begitu matang bagi menghadapi cabaran di dalam atau luar parti," katanya. 

Beliau juga berkata debat seumpama ini tidak akan mencerminkan kemahiran kepimpinan mana-mana ahli politik kerana ia hanya semata-mata sebagai satu platform bagi ahli-ahli politik daripada parti yang berbeza untuk meneroka dasar dan agenda mereka berbanding siapa yang boleh berdebat. 

"Ada mereka yang tidak boleh berdebat tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh menjadi pemimpin yang baik. Mungkin satu pendekatan berbeza untuk kumpulan sasar yang berbeza," katanya. 

Di sebalik itu, masih ada sesetengah orang yang memandang debat akan datang secara positif kerana mereka berhujah debat seumpama itu masih diperlukan oleh mana-mana parti politik untuk menyebarkan mesej mereka. 

Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker, bahawa MCA adalah sebuah parti yang sukar difahami dan ia perlu menggunakan mana-mana platform politik untuk menyampaikan falsafah perjuangan dan politiknya. 

"Kami perlu satu platform atau saluran. Kami mahu orang ramai mendengar dengan fikiran terbuka. Apa yang kami hadapi pada tahun-tahun kebelakangan ini adalah pukulan politik bukan mengenai perkara paling pokok. Ia adalah tindakan politik yang sama sekali tidak mengambil kira soal pencapaian," katanya. 

Ti berkata beliau menyokong penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi debat kedua kerana Dr Chua dan Lim mendapat pendidikan dalam bahasa itu. 

"Selepas debat pertama, kedua-dua mereka belajar daripada kelemahan mereka dalam usaha memperbaiki debat kedua mereka. Anda boleh menjangkakan debat yang lebih baik dan berdasarkan fakta memandangkan bahasa Inggeris adalah bahasa pertama mereka," katanya. 

Bagi ahli strategi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, beliau menjelaskan bahawa dalam demokrasi, debat itu perlu bertindak sebagai satu forum untuk membincangkan dasar-dasar dan agenda dan tidak wujud "pemenangnya mendapat semua dan mereka yang kalah kehilangan semua". 

"Kedua-dua pihak akan mendapat manfaat. Tidak ada seorang pun boleh pasti menang 100 peratus. Jadi semangat itu penting," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment