My Add

Wednesday 13 June 2012

Fatmi: Tindakan Pas tangguh haji keterlaluan

KOTA BAHARU, RABU, 13 Jun, 2012: Tindakan PAS yang meminta anggota parti itu menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 adalah keterlaluan, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Mohd Fatmi berkata beliau yakin sebahagian besar anggota PAS tidak bersetuju dengan cadangan pemimpin mereka itu kerana menunaikan ibadah itu adalah lebih penting dari segala-galanya.

"Janganlah kerana politik kita menyekat seseorang mahu menunaikan ibadah haji. Itu sangat keterlaluan. Bagaimana mungkin PAS mengetahui pilihan raya diadakan pada musim haji.

"Ini perkara sensitif. Ke Mekah menunaikan haji ini adalah jemputan Allah SWT. Bukan boleh ditangguh sesuka hati atas perkara yang kita sendiri tidak tahu akan berlaku seperti pilihan raya itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama NGO Cina di sini, hari ini.

Dua hari lepas Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan meminta semua anggota parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya agar menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi pilihan raya umum itu.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu disokong Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kerana menurutnya, berdasarkan hukum, haji boleh ditangguhkan dan tidak mempunyai tempoh masa untuk ditunaikan seperti mana solat.

Mohd Fatmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah seorang pemimpin yang tidak faham mengenai kehendak agama yang tidak memikirkan soal beribadat dalam menentukan tarikh mengadakan pilihan raya.

Sementara itu, Fatmi berkata sokongan masyarakat Cina di Kelantan terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat terutama selepas perhimpunan haram Bersih baru-baru ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment