My Add

Wednesday 13 June 2012

Perak bercadang tubuh pihak berkuasa pelabuhan sendiri

IPOH, RAB U, 13 Jun, 2012: Perak bercadang mewujudkan sebuah badan yang akan membantu kerajaan negeri menjalankan kawal selia, pemantauan dan pengawasan terhadap semua pelabuhan dan jeti di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya sudah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri menyediakan laporan khas mengenai potensi yang ada di Perak dan kemungkinan mewujudkan sebuah lembaga pelabuhan.

"Kami bercadang mewujudkan pihak berkuasa pelabuhan itu kerana industri pelabuhan di Perak sedang berkembang dan ia turut berkaitan dengan perkembangan ekonomi negeri yang semakin pesat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu Perak memerlukan jalan penyelesaian untuk pengawasan dan penggalakan kepada pengurusan pelabuhan yang membabitkan kapal yang ingin berlabuh serta keselamatan navigasi di perairan Perak. 

"Ini kerana ada kapal yang ingin masuk-keluar serta mengetahui kedudukan air dalam dan cetek selain itu dengan pergerakan trafik kapal yang semakin berkembang, Perak sememangnya memerlukan pihak berkuasa pelabuhan ini," katanya. 

Zambry berkata, kerajaan negeri menjangkakan 9,824 pergerakan keluar-masuk kapal di Lumut sehingga tahun 2016 dengan jumlah kapal yang masuk ke Lumut dan pelabuhan utama ialah 4,912 buah. 

"Pada 2011, Perak merekodkan 4,574 pergerakan kapal ke pelabuhan utama dan kecil dengan 2,287 kapal," katanya. 
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan memberi maklum balas positif atas usaha kerajaan negeri itu selepas perbincangan peringkat awal diadakan. 

Perak mempunyai sebuah pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Lumut serta pelabuhan kecil seperti di Kampung Acheh dan Bagan Datoh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment