My Add

Wednesday 13 June 2012

FELDA D'Saji rancang buka cawangan di Madinah

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: FELDA D’Saji Sdn Bhd (Felda D’Saji) merancang untuk membuka cawangan restoran mereka di Madinah sekurang-kurangnya pada tahun depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Felda D’Saji Ahmad Zaki Abdullah berkata perancangan telahpun diatur dan ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian.

"Kita cari lokasi yang sesuai yang boleh menjana pendapatan. Selepas kajian mengenai lokasi ini selesai, barulah kita akan membuat persiapan seterusnya termasuk perancangan modal, kos, pengurusan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan yang diutarakan orang ramai ketika sesi sembang selama sejam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di laman web NST semalam. 

Cadangan itu antara lain meminta restoran FELDA D’Saji dibuka di Madinah selepas kejayaan cawangan di Makkah demi membantu jemaah haji dan umrah mendapatkan makanan Melayu ketika berada di Tanah Suci. 

Ahmad Zaki berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu dan berharap cawangan Madinah apabila dibuka kelak dapat menjana pendapatan kepada mereka dan situasi menang-menang kepada jemaah dan pengurusan restoran. 

Dilaporkan FELDA D'Saji mempunyai tiga perkhidmatan sajian makanan di Makkah sejak 2008 dan terdapat sebuah restoran di dalam Hotel Ummu Hani yang dimiliki oleh Koperasi Permodalan FELDA. 

Syarikat itu turut beroperasi di medan selera di dalam bangunan Menara Safwa selain mempunyai D'Saji Central Kitchen Akakiyah yang melibatkan perkhidmatan memesan dan menghantar makanan kepada jemaah dari Asean seperti Singapura dan Brunei. 

Ketiga-tiga perkhidmatan ini beroperasi tidak jauh dari Masjidil Haram demi memudahkan penginapnya melakukan ibadat di Tanah Suci. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment