My Add

Monday 11 June 2012

Formula baru agih kerusi BN

*MUHYIDDIN Yassin mengangkat tangan sambil bergandingan bersama M. Kayveas, Chandrakumanan (kanan) dan Maglin De Cruz (kiri) selepas merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH.

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Jun, 2012:Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para pemimpin komponen Barisan Nasonal (BN) supaya bersikap terbuka dalam menghadapi formula baru pembahagian kerusi mengikut keupayaan calon boleh menang, yang akan dipilih pada pilihan raya umum nanti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, formula baru itu akan menyaksikan kerusi yang secara tradisi dipertandingkan oleh wakil parti komponen BN tertentu diganti oleh wakil parti komponen lain, berdasarkan faktor kekuatan dan penerimaan pengundi terhadap individu berkenaan.

Katanya, perubahan itu bakal menyaksikan BN memilih pemimpin yang bukan sahaja popular di dalam parti, tetapi dapat diterima dengan baik oleh para penduduk setempat berdasarkan usaha membangunkan komuniti tersebut demi memastikan kemenangan BN akan datang.

"Siapa di kalangan komponen parti yang diletak nanti mempunyai peluang lebih untuk menang, saya kira asas itu boleh kita guna.

"Sebagai contoh, kalau di Parlimen Batu kita lihat (Pengerusi Parti Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan) Datuk A. Chandrakumanan boleh menang, maka kita letakkan menggantikan Gerakan, sebagai contoh, kerana Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ada di sini," katanya."

Hadir sama, Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas, Tsu Koon, timbalannya, Datuk Maglin De Cruz, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan dan pimpinan serta ahli PPP dari seluruh negara.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau menambah, para pemimpin parti komponen BN di seluruh negara terutama Wilayah Persekutuan perlu menerima formula baru tersebut memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 dijangka diadakan tidak lama lagi.

Justeru, katanya, semua pimpinan parti komponen BN perlu bekerjasama dalam pemilihan calon akan datang dan memberi sokongan padu kepada calon tersebut demi memastikan kemenangan gagasan tersebut.

Sementara itu, katanya, para pemimpin BN perlu sentiasa bertindak pantas dalam mengurus persepsi negatif yang ditimbulkan pembangkang ke atas komponen itu melalui pelbagai dakyah yang tidak berasas melalui media sosial.

"Terdapat perbezaan di antara realiti dan persepsi masyarakat dalam pelbagai isu dan kita mesti berani menanganinya kerana pembangkang bijak memutar isu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment